Gol Lukaku khas untuk Ericksen


Aksi Romelu Lukaku selepas menjaringkan gol kemenangan untuk Belgium dalam saingan Euro 2020 menentang Rusia. – Gambar EPA, 13 Jun, 2021.

PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku mengakui mengalirkan air mata kerana insiden menimpa Christian Eriksen, dan mendedikasikan dua gol yang dijaringkannya ketika menewaskan Russia 3-0, dalam perlawanan awal pagi ini buat rakan sepasukannya di Inter Milan itu.

“Saya sangat gembira kami menang, tetapi sukar untuk saya bermain kerana sentiasa memikirkan keadaan Christian Eriksen.

“Saya dedikasikan gol ini untuknya,” kata Lukaku yang muncul sebagai pemain terbaik perlawanan di Saint Petersburg.

Lukaku membuka tirai jaringan buat Belgium dan kemudiannya menjerit di depan kamera, “Chris, Chris, bertabahlah… Saya sayang kamu” ketika meraikan gol pertamanya pada minit ke-10 itu.

Eriksen dilaporkan sudah sedarkan diri di hospital selepas tumbang ketika aksi Euro 2020 menentang Finland di Copenhagen.

Di Saint Petersburg, pemain gentian Thomas Meunier menjaringkan gol kedua buat Belgium pada minit ke-34, sebelum Lukaku melengkapkan kemenangan pasukan itu dengan gol ketiga pada lewat babak perlawanan.

“Saya menangis sebelum perlawanan,” dedah Lukaku selepas tamat perlawanan.

“Saya menghabiskan banyak masa bersamanya,” kata Lukaku mengenai Eriksen selepas mereka membantu Inter menjulang trofi Serie A musim lalu.

“Doa saya untuk isteri dan anak-anaknya.”

Lukaku kini sudah menjaringkan 20 gol dalam 15 penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa. – AFP, 13 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen