Teori konspirasi, berita palsu dorong warga emas tolak vaksin


Alfian Z.M. Tahir

Kebanyakan warga emas risau akan mengalami masalah kesihatan lain pula selepas suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

BERITA tidak sahih dan teori yang tidak dapat dibuktikan mengenai keburukan vaksin Covid-19 yang penuh di internet mempengaruhi ramai warga emas sehingga menolak vaksinasi.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, kebanyakan warga emas berkata mereka risau akan mengalami masalah kesihatan lain pula setelah divaksin.

Ada kalangan mereka menyifatkan vaksinasi sebagai konspirasi Barat bagi melemahkan iman mereka.

Malah mereka berkata pusat beli-belah tidak boleh dibuka, sedangkan kerajaan sudah jelaskan hanya bahagian pasar raya dan restoran dibenarkan beroperasi.

Mereka, bagaimanapun mengaku terlalu bergantung dengan berita daripada sumber tidak sahih sehingga membuat keputusan untuk tidak mendaftar program imunisasi kerajaan.

“Saya dengar banyak cerita tak elok pasal vaksin dari mesej Whatsapp yang dikongsi ramai orang. Ada yang berbentuk rakaman audio, ada rencana.”

“Saya takut kalau saya dapat vaksin, kesihatan saya merosot,” kata Salmah, 70, dari Klang.

Salmah menghidap tekanan darah tinggi dan sentiasa mengambil ubat.

Tambahnya, mesej yang diterima dikongsi melalui Whatsapp daripada kumpulan jemaah masjid.

“Beberapa kawan saya yang ada dalam kumpulan itu sedang pertimbang untuk ambil atau tidak vaksin itu. Mereka ada masalah kesihatan juga,” katanya.

Setakat Mac, Kementerian Kesihatan menerima 25,770 laporan kesan sampingan daripada mereka yang menerima dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata antara kesan sampingan ringan dialami adalah sakit di tempat suntikan, sakit sendi, demam, sakit kepala, keletihan, muntah dan loya.

Baru-baru ini, seorang guru tuisyen dipercayai menjadi inidividu pertama didakwa di bawah ordinan darurat kerana berkongsi berita palsu.

Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, didakwa di mahkamah di Pontian kerana menyiarkan berita palsu melalui Facebook.

Mengikut pertuduhan, Nazaruddin mendakwa seorang anggota polis trafik  maut setelah menerima dos kedua vaksin Covid-19, melalui hantaran di Facebook: “Mati lagi… di Pontian, Vaksin kedua.”

Hantaran itu disertakan dengan gambar tiga polis berada bersama polis trafik itu. Seorang polis wanita juga ada di sebelah mereka.

Pada 30 Mei, hampir 10,000 penduduk di Kuantan, Pahang tidak hadir temujanji vaksinasi Covid-19 kerana terpengaruh dengan berita palsu berkaitan vaksin.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian susulan taklimat pihak berkaitan mengenai isu ketidakhadiran di pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu.

Sepasang suami isteri warga emas memberitahu The Malaysian Insight mereka hanya takut divaksinasi.

Mereka berkata anak cuba memujuk tetapi mereka masih belum pasti.

“Kami akan tunggu dan lihat. Kalau tak ada masalah, kami ambil tapi kalau ada masalah berkaitan vaksin, kami tak akan ambil. Kami takut selepas baca, dengar banyak cerita.”

“Kami berdua sihat. Kami tak mahu ambil risiko. Lebih-lebih lagi, saya tinggal dalam rumah. Hanya suami bekerja. Kami tidak pergi ke mana-mana kalau tak penting. Saya rasa kami akan baik-baik saja tanpa vaksin,” kata warga emas berusia 57 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Penny. β€“ 13 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen