PIHAK berkuasa Perancis pada Sabtu berusaha mengurangkan kesan tumpahan minyak yang menghampiri timur Corsica, dengan dua kapal tentera laut dilengkapi kelengkapan pembersihan menuju ke pulau Mediterranean itu.
“Kami risau sebahagian daripada pencemaran ini akan sampai ke pantai Corsica hari ini,” kata pegawai maritim Christine Ribbe kepada AFP.
Dua kapal angkatan laut Perancis dilengkapi dengan bahan antipencemaran dan kakitangan khas menuju pantai Corsica dari pangkalan di Toulon, selatan Perancis.
Lebih kurang 80 anggota pasukan keselamatan dan penyelamat juga dikerah membuat pembersihan supaya minyak tidak hampiri pantai, kata pihak berkuasa tempatan.
Minyak yang bocor dari kapal itu pertama kali dikesan sekitar tengah hari Jumaat semasa operasi kawalan oleh pangkalan udara tempatan.
Menjelang Sabtu, para pegawai mengesan minyak berukuran sekitar 19 batu nautika (35 kilometer).
“Pengawasan dengan pesawat dan helikopter pada Sabtu pagi membolehkan kami mengesan minyak itu, ada bahagian yang menghampiri pantai,” kata Ribbe.
Minyak itu menghampiri pantai Aleria di Corsica. Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk menjauhkan diri dari pantai pada Sabtu, selain melarang aktiviti memancing.
Pendakwa Dominique Laurens memberitahu AFP maritim Perancis telah membuka kertas siasatan mengenai tumpahan tersebut.
“Analisis trafik maritim sedang dibuat,” katanya. – AFP, 12 Jun, 2021.
Komen