KABINET akan menasihati Yang Dipertuan Agong sama ada darurat perlu disambung atau tidak, kata Takiyuddin Hassan.
Dalam satu kenyataan, menteri hal ehwal undang-undang itu berkata berdasarkan nasihat Kabinet, Agong bersetuju untuk mengisytiharkan proklamasi darurat untuk memerangi Covid-19 pada Januari lalu.
Takiyuddin berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisme yang wujud dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.
“Persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul.
“Adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat,” katanya.
Beliau mengulas laporan Malay Mail semalam yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihata Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Agong mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak.
Menurut laporan itu, Dr Noor Hisham berkata sebaik sahaja darurat berakhir, tiga pilihan raya kecil akan diadakan dan begitu juga pilihan raya Sarawak.
Darurat diisytiharkan untuk seluruh negara pada 12 Januari seghingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Di bawah Ordinan Darurat, Pilihan Raya Umum (PRU), PRN dan PRK tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
Agong menerima menghadap ketua parti politik pada minggu ini untuk membincangkan isu negara memerangi Covid-19.
Baginda bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Rabu disusuli Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Sehari kemudian, baginda bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Ketua Warisan Shafie Apdal. – 12 Jun, 2021.
Komen