Tak perlu Mageran sebab bukan darurat keselamatan, kata Bersatu


Kabinet boleh kekal kerana darurat yang dilaksana waktu ini untuk menjaga kesihatan, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

KABINET masih boleh terus dikekalkan dan berfungsi seperti biasa kerana darurat yang dilaksana waktu ini untuk menjaga kesihatan dan bukan keselamatan, tegas parti Bersatu.

Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan berkata demikian bagi menolak cadangan membentuk Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan sewaktu darurat.

“Perikatan Nasional kekalkan kabinet penuh yang menjalankan fungsi-fungsi seperti biasa. Kerana darurat kita kini ialah darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan.

“Jadi kabinet dan fungsinya boleh dikekalkan,” katanya ketika mengulas cadangan pembentukan Mageran itu, yang dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, majlis tersebut perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan pengurusan pandemik, dan juga isu politik seperti yang dilakukan bagi menangani krisisi selepas pilihan raya umum 1969.

Jelasnya, Mageran juga akan dapat melibatkan lebih banyak pakar untuk menangani pandemik memandangkan kes meningkat begitu tinggi dan menyebabkan banyak kematian.

Menurut Dr Mahathir, cadangan tersebut tidak ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong sewaktu dipersembahkan ketika baginda menerima beliau menghadap pada Khamis.

Cadangan berkenaan bagaimanapun ditolak pemimpin Pakatan Harapan serta parti Umno yang kini masih menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gabungan parti berkenaan dan juga Umno sebaliknya menuntut sidang Parlimen diadakan semula sewaktu darurat bagi membahaskan tindakan kerajaan.

Kerajaan besar gabungan (PN) kini dikritik atas prestasi buruk dan arahan serta ketetapan yang bercelaru dalam menangani pandemik.

Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Mageran, cadangan yang ditolak Pakatan Harapan dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

Mengulas cadangan Dr Mahathir, Wan Saiful berkata pandemik Covid-19 kini sudahpun diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain Kabinet yang bermesyuarat setiap minggu.

“Dengan minimum tiga sidang MKN, ditambah lagi Mesyuarat Kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus yang menangani ehwal semasa,” katanya.

Selain itu jawatankuasa teknikal berkenaan langkah tersebut juga dibentuk dan tindakakannya dilaksana oleh kementerian bertanggungjawab.

“Maksudnya semua kementerian dan jentera kerajaan sentiasa berfungsi secara optimum dan semua keputusan berdasarkan data dan fakta terperinci,” katanya.

Beliau juga mengakui pendirian kerajaan berbolak-balik dan ketetapan sering berubah-ubah kerana menurutnya ia berdasarkan perubahan data dan situasi yang dinamik.

Wan Saiful bagaimanapun tidak menjawab faktor kelemahan kuasa politik kerajaan yang mendorong Dr Mahathir mencadangkan pembentukan Mageran.

Darurat yang berkuatkuasa 11 Januari hingga 1 Ogos itu menjadi alasan kepada kerajaan untuk menggantung kesemua persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Ia bagi mengelak undi tidak percaya dilancarkan ke atas Muhyiddin Yassin, yang mengambil alih kerajaan melalui Langkah Sheraton pada Februari lalu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata Mageran tidak perlu diwujudkan kerana kerajaan sedang berfungsi dengan optimum dan kes Covid-19 terkawal.

“Kadar vaksinasi kita pula kini antara yang tertinggi di Asia. Pelabur pun sudah mula kembali. Dan bantuan sampai ke tangan hampir semua yang memerlukan,” katanya.

Mageran dibentuk pada 1969 selepas rusuhan kaum dan krisis politik yang berlaku ekoran keputusan pilihan raya umum pada tahun tersebut. – 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen