Putin harap Biden tak seperti Trump


PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Jumaat menyuarakan harapan yang Joe Biden tidak gelojoh seperti Donald Trump, menjelang pertemuan pertamanya dengan presiden baharu AS itu.

Dalam satu wawancara dengan NBC News, Putin menyifatkan Biden sebagai “lelaki berkerjaya” yang menghabiskan hidupnya dalam politik selepas Trump yang “meriah”.

“Adalah menjadi harapan besar saya, ya, memang akan ada kelebihan dan keburukan, tetapi tidak akan tindakan gelojoh dibuat presiden AS lagi,” katanya menurut terjemahan NBC News.

“Saya percaya yang bekas presiden AS Trump adalah individu luar biasa, berbakat…Beliau ‘meriah’. Anda mungkin suka beliau atau tidak. Tetapi beliau bukan dari kumpulan penguasa AS (yang biasa),” Putin dipetik berkata.

Biden merancang untuk membangkitkan pelbagai kebimbangan AS termasuklah dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya, dalam pertemuan dengan Putin pada Rabu ini Geneva, penamat lawatan luar negara presiden baharu itu.

Putin sebelum ini secara terbuka mengakui yang beliau menyokong Trump pada pilihan raya 2016, dengan Trump memuji pemimpin Rusia itu dan menerima penafian Putin bahawa Rusia tidak terlibat dalam campur tangan pilihan raya AS.

Biden pula tidak memandang tinggi Putin dan menggambarkannya sebagai “pembunuh” susulan siri kematian berlaku antaranya melibatkan pengkritik Kremlin Boris Nemtsov.

Ditanya adakah beliau “seorang pembunuh”, Putin berkata istilah itu adalah sebahagian daripada “kelakuan macho” yang biasa wujud di Hollywood.

“Wacana sebegitu adalah sebahagian budaya politik AS yang dianggap kelaziman. Tetapi bukan di sini (Rusia), ia tidak dianggap lazim,” katanya. – AFP, 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen