SEORANG guru agama di Pakistan yang lantang bersuara ditahan kerana mengeluarkan ancaman bunuh terhadap penerima Hadiah Nobel Malala Yousafzai kerana kenyataan aktivis itu berkaitan isu perkahwinan, kata pegawai pada Jumaat.
Sejak terselamat daripada cubaan bunuh dibuat Taliban di pedalaman Pakistan ketika berusia 15 tahun, graduan Oxford itu menjadi susuk utama global dalam perjuangan pendidikan untuk wanita.
Tetapi, wawancara terbarunya yang disiarkan majalah fesyen Vogue mencetuskan perdebatan di tanah airnya – Malala adalah susuk kontroversi di Pakistan – apabila beliau mempersoalkan sama ada ikatan perundangan antara pasangan adalah satu keperluan.
Isu itu diperdebat oleh ahli Parlimen di tempat asalnya Khyber Pakhtunkhwa yang berkata kenyataan Malala bertentangan dengan Islam.
“Malala bermimpi mahu jadi perdana menteri negara ini tetapi menggalakkan kelucahan,” kata guru agama Sardar Ali kepada pelajarnya di sebuah madrasah di bandar Lakki Marwat minggu lepas.
Tambahnya, beliau akan membunuh Malala dalam serangan bunuh diri jika aktivis itu pulang ke Pakistan.
Pegawai polis Wasim Sajjad memberitahu AFP yang Sardar Ali didakwa dengan pertuduhan mengancam, ucapan kebencian dan mencetuskan keganasan.
Penahanan itu disahkan pegawai kanan polis, Muhammad Imran.
Tahun lepas, Malala mengecam Perdana Menteri Imran Khan di Twitter, selepas seorang pengganas Taliban yang didakwa mendalangi serangan ke atasnya terlepas dari tahanan.
Malala muncul sebagai gadis muka depan majalah Vogue edisi British yang diterbitkan minggu lepas.
“Jika anda mahu seseorang dalam hidup anda, mengapa perlu tandatangani kertas perkahwinan, mengapa tak boleh jadi perkongsian hidup sahaja?” jawabnya ketika ditanya tentang rancangannya selepas menamatkan pengajian universitinya.
Walaupun dikagumi seluruh dunia, Malala dikecam hebat di Pakistan sejak beberapa tahun lepas, ada pihak mendakwa tumpuan dunia ke atasnya menjejaskan reputasi negara itu.
Beliau juga dikritik kerana dianggap memperjuangkan nilai liberal Barat dan berdepan kecaman kerana caranya berpakaian dan pandangannya tentang hal ehwal dunia. – AFP, 12 Jun, 2021.
Komen