Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel


Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak Mei lalu apabila sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terbunuh manakala ratusan lagi cedera. – Gambar EPA, 12 Jun, 2021.

SEORANG remaja Palestin terbunuh selepas ditembak oleh tentera Israel semalam dalam satu pertempuran di Tebing Barat yang dijajah, kata pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Palestin.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, Mohammad Said Hamayel, 15, meninggal dunia dalam pertempuran dengan pasukan Israel berhampira Beita di selatan Nablus.

Kementerian kesihatan berkata enam yang lain cedera akibat tembakan dalam pertempuran berkenaan.

Tentera Israel ketika dihubungi AFP mendakwa beratus-ratus rakyat Palestin melakukan rusuhan, membakar kenderaan dan melemparkan batu serta bunga api kea rah tentera.

“Tentera bertindak balas dengan menyuraikan rusuhan dan tembakan kea rah perusuh,” kata seorang jurucakap tentera.

Menurut agensi berita Palestin WAFA, pertempuran berlaku semasa tunjuk perasaan membantah pembinaan penempatan Israel dengan tentera bertindak balas dengan api dan gas pemedih mata.

Kematian remaja berkenaan berlaku sehari selepas tiga rakyat Palestin dibunuh oleh pasukan khas Israel dalam misi menangkap suspek “pengganas” di Tebing Barat.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak Mei lalu apabila sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terbunuh manakala ratusan lagi cedera.

Penduduk di Tebing Barat sering mengadakan demonstrasi setiap hari Jumaat bagi membantah penempatan haram Israel yang menceroboh tanah dan merobohkan rumah penduduk di situ yang dianggap tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Protes tersebut seringkali menyebabkan berlakunya pertempuran dengan tentera Israel.

Kira-kira 475,000 rakyat Israel meneroka secara haram dan tinggal di Tebing Barat yang diduduki oleh lebih 2.8 juta penduduk Palestin. – AFP, 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen