20 wartawan dan petugas media maut di Afghanistan pada 2017


Pasukan komando Afghanistan melakukan rondaan dalam usaha menentang militan IS. – Gambar AFP, 12 Januari, 2018.

SERAMAI 20 wartawan dan petugas media maut dalam keganasan di Afghanistan pada 2017, kata Jawatankuasa Keselamatan Wartawan Afghanistan (AJSC) pada Rabu.  

Dalam sejarah Afghanistan, tahun lepas disifatkan sebagai paling dahsyat kepada wartawan dan media, dengan  insiden keganasan terhadap petugas meningkat 67% berbanding 2016, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan AJSC di laman webnya.

Menurut kenyataan itu, AJSC merekodkan 169 insiden keganasan dan pelbagai ugutan termasuk akan dibunuh, dipukul dan ditahan selain diancam dengan serangan secara lisan. 

“Seramai 20 wartawan terbunuh disebabkan oleh kumpulan Taliban dan Daesh.

“Peningkatan mendadak keganasan terhadap wartawan dan pekerja media di Afghanistan sangat membimbangkan kami dan komuniti media secara keseluruhan,” kata ketua AJSC, Najib Sharifi. 

Justeru beliau berkata, jawatankuasa sokongan media menyeru semua pihak yang berperang termasuk Taliban dan Daesh tidak menyerang wartawan dan pekerja media.

Pada 2016, sekurang-kurangnya 13 wartawan dilaporkan terbunuh. – Bernama, 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen