Makin ramai miskin bandar di dapur jalanan, kata sukarelawan


Elill Easwaran

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilaksana pada 1 Jun lepas, semakin ramai miskin bandar datang ke dapur jalanan di ibu kota bagi mendapatkan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

SEMAKIN ramai orang berbaris mendapatkan makanan percuma sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilaksana pada 1 Jun lepas, kata kumpulan sukarelawan.

Kumpulan sukarelawan itu menyedari kehadiran wajah baharu yang berkunjung ke dapur amal mereka di ibu kota meningkat sekurang-kurangnya 30%, situasi yang menyebabkan lebih banyak makanan perlu disediakan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, wajah baharu ini muncul selepas hilang kerja dan pendapatan sepanjang PKP penuh yang kini dilanjutkan sampai 28 Jun depan.

Di bawah PKP penuh, hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi, sekali gus menghilang dan mengurangkan pendapatan ramai pekerja bergaji harian serta peniaga kecil.

Pengasas Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM) Elisha Kor Krishnan berkata, terdapat 30% peningkatan yang datang ke dapur amalnya di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

“Jumlah orang yang datang naik berperingkat-peringkat. Mereka ini kebanyakannya hilang kerja atau gaji dipotong.

“Ketika PKP penuh bermula pada 1 Jun, kami beri 60 bungkus makanan sehari. Tiga hari kemudian kami terpaksa tambah lagi 20 bungkus.

“Sekarang kami tambah lagi, jadi 120 bungkus sehari,” kata Elisha.

PPKUM beroperasi pada Isnin hingga Jumaat, menyediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Sukar untuk beroperasi semasa PKP penuh, kata Elisha.

“Tanpa surat kelulusan dari jabatan yang berkaitan, kami hanya boleh buat perjalanan hanya dalam jarak 10km dari pejabat kami,” katanya.

Tambahnya pembiayaan untuk usaha mereka datang dari kawan-kawan di Facebook dan kaum keluarga sendiri.

Sementara itu, pengasas Pertubuhan Pembangunan Kebajikan Dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED) Mitch Yusof berkata mereka selalu memberikan 100-150 pek sehari, namun kini jumlah meningkat sekitar 250 sehari.

“Tak mudah untuk jaga orang yang ramai setiap hari, tapi kami buat sebaik mungkin untuk ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kami juga tak ada sukarelawan sebab semuanya dibuat oleh pasukan kami yang terdiri daripada lapan orang dan dibahagikan kepada dua pasukan,” kata Mitch.

Sementara itu, Pertiwi Soup Kitchen berkata mereka meningkatkan jumlah pek makanan disediakan setiap hari.

Pengasas Pertiwi, Munirah Abdul Hamid berkata, pasukannya itu kini menyediakan 1,000 hingga 1,700 makanan setiap hari berbanding 600 makanan empat kali seminggu sebelum ini.

“Sebahagian besar mereka yang muncul bukanlah gelandangan. Kebanyakkannya golongan miskin bandar yang sedang bertarung sepanjang PKP penuh ini, ”katanya.

Pertiwi mengedarkan makanan dari transit gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2 di Kuala Lumpur.

Malaysia sepatutnya berada dalam PKP penuh hingga 14 Jun, namun semalam perintah itu diumumkan akan dilanjutkan sehingga 28 Jun depan, bagi memerangi pandemik Covid-19 yang makin runcing.

Sektor ekonomi dan perkhidmatan penting masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP penuh ini. – 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen