Suspek pukul isteri hingga koma ditahan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut sumber, suspek 38 tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman di Taman Bukit Angsana, Cheras, dari Johor Bahru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2021.

SUSPEK yang diburu polis sebab memukul isterinya yang sarat mengandung sampai koma di Johor Bahru bulan lepas telah ditahan polis di Cheras.

Menurut sumber, suspek 38 tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman di Taman Bukit Angsana, Cheras.

“Suspek ditemui dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati suspek dikehendaki untuk kes memukul isteri hingga koma di Johor pada 4 Mei lalu.

“Selain itu, suspek juga memiliki rekod dikehendaki polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi bagi tahun 2018,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah sumber itu lagi, suspek mengaku memukul isteri sebelum melarikan diri ke Lembah Klang.

Ketika kejadian itu, Jahidah Nordin, 43, kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor, bertarung nyawa sebab cedera parah disyaki dipukul suaminya.

Mangsa yang sedang hamil empat minggu itu cedera parah di kepala sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang kerana pendarahan. 

Malah rahang, tulang belakang dan rusuk mangsa retak akibat kejadian ganas itu.

Selepas dipukul, suspek menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak HSA.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis sedang giat memburu suspek, menyatakan suspek dipercayai berada di Shah Alam, Selangor atau Alor Setar, Kedah.

Pada 18 Mei lalu, polis turut mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai menyumbang maklumat selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Maklumat peribadi suspek turut diedarkan membabitkan nama dan alamatnya iaitu Rosmaini Abd Raof, 38, beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar di Kedah. Suspek bekerja sebagai peniaga. – 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen