Putrajaya umum PKP penuh lanjut hingga 28 Jun


Hari ini kerajaan mengumumkan PKP penuh dilanjutkan sehingga 28 Jun.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Jun, 2021.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang sepatutnya berakhir pada 14 Jun dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Kebenaran beroperasi juga kekal mengikut senarai sedia ada, katanya dalam pengumuman hari ini.

“Senarai positif atau negatif dan prosedur pperasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871,” katanya.

Katanya, itu dibuat atas cadangan Kementerian Kesihatan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sewaktu mengumumkan pelaksanaan PKP penuh pada 30 Mei lalu berkata, perintah itu akan dikuatkuasa berperingkat dengan fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun.

Beliau pada masa itu berkata, sekatan akan dilonggarkan secara berperingkat pada fasa kedua dan ketiga, yang akan membuka beberapa sektor ekonomi dan kegiatan sosial.

Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke satu fasa itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan pelaksanaan PKP penuh pada 30 Mei lalu berkata, perintah itu akan dikuatkuasa untuk fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Jun, 2021.

Kawalan untuk fasa pertama itu diputuskan ketika Malaysia merekodkan jangkitan harian tertinggi pada masa itu, iaitu 8,290 kes.

Jumlah kes harian itu memuncak ke angka 9,020 dan jumlah kematian harian akibat Covid-19 juga meningkat ke tiga angka dengan jumlah tertinggi 126 nyawa pada 2 Jun.

Angka pesakit di unit rawatan rapi juga meningkat ke angka hampir 1,000 orang setiap hari dan hampir separuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Seminggu kemudian, jumlah kes baharu mula turun mengikut kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang terus merosot sehingga ke paras 0.95 pada 9 Jun.

Labuan kini satu-satunya kawasan dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, dengan angka 1.27.

Sehingga hari ini, seramai 3,768 maut akibat Covid-19 di Malaysia. – 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen