912 pesakit Covid-19 di ICU, 84 maut hari ini


Ravin Palanisamy

Walaupun pesakit Covid-19 di ICU meningkat, jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun dari 462 semalam kepada 458 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2021.

MALAYSIA mencatatkan 912 pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah pesakit kritikal terkini melebihi angka 911 semalam.

Sejak 5 Mei, jumlah pesakit Covid-19 di ICU terus meningkat.

Walaupun pesakit ICU meningkat, jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun dari 462 semalam kepada 458 hari ini.

Selain itu, jumlah kematian meningkat kepada 84 hari ini setelah tiga hari berturut-turut melaporkan penurunan.

Sementara negara mencatatkan 6,849 kes baharu hari ini, ia juga merekodkan 7,749 orang telah pulih dan didiscaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih menjadi 563,779.

Ini mengurangkan jumlah kes aktif di negara ini menjadi 78,864.

Dari 84 kematian hari ini, lapan adalah warga asing.

Seramai 16 mangsa mati sebelum tiba di hospital (BID), di mana enam daripadanya warga asing.

Seluruh Malaysia, kecuali Putrajaya, melaporkan kes kematian hari ini.

Selangor dan Sarawak masing-masing melaporkan 19 dan 12 kematian.

Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Negeri Sembilan (9), Labuan (8), Johor dan Kuala Lumpur (masing-masing 7), Pahang dan Sabah (masing-masing 6), Terengganu (3), Melaka (2), dan Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah (masing-masing satu). – 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen