HONG KONG akan menapis semua filem atas dasar pelanggaran keselamatan negara yang diumumkan pada Jumaat, sebagai tamparan terbaharu kepada kebebasan politik dan seni di hab kewangan itu.
Pihak berkuasa di Hong Kong yang separa autonomi itu telah memulakan tindakan keras membasmi pengkritik Beijing setelah tunjuk perasaan demokrasi besar-besaran yang sering bertukar ganas sehingga menggegarkan kota itu pada 2019.
Undang-undang keselamatan baharu oleh China itu dan kempen rasmi yang dikenali sebagai “Patriot perintah Hong Kong” itu telah mengharamkan perbezaan pendapat dan mencengkam gerakan demokrasi.
Sasaran terbaru adalah filem.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, pemerintah berkata Ordinan Penapisan Filem telah diperluas dengan memasukkan “setiap tindakan atau kegiatan yang mungkin merupakan kesalahan membahayakan keamanan nasional”.
“Ketika mempertimbangkan sebuah filem secara keseluruhan dan kesannya kepada penonton, penapis perlu menjalankan tanggung jawab mencegah dan menekan tindakan atau kegiatan yang membahayakan keamanan negara,” kata panduan baharu itu, yang dilaksanakan serta merta.
Ia turut menyebut “tanggungjawab bersama rakyat Hong Kong untuk menjaga kedaulatan, penyatuan dan integriti wilayah Republik Rakyat China.”
Langkah itu mencetuskan kebimbangan penapisan politik seperti tanah besar China kini telah tiba di Hong Kong.
“Penapisan baharu ini akan menyukarkan pembuat filem tempatan di Hong Kong menggunakan hak demokrasi mereka mencipta seni dan mencabar struktur kekuasaan yang tidak adil,” kata pengarah Oscar, Anders Hammer kepada AFP.
Hammer,warganegara Norway, menerima Oscar atas filem dokumentarinya mengenai demokrasi Hong Kong bertajuk “Do Not Split”.
“Sudah dua tahun sejak protes pro-demokrasi bermula dan saya sedih melihat satu lagi contoh campur tangan Beijing terhadap kebebasan di Hong Kong,” tambahnya. – AFP, 11 Jun, 2021.
Komen