Agong sokong moratorium pinjaman, bantuan lebih baik, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau membincangkan masalah kewangan dihadapi rakyat semasa menghadap Agong dua hari lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Jun, 2021.

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyokong moratorium pinjaman diperluas dan bantuan kewangan lebih baik untuk perniagaan, kata Lim Guan Eng.

“Semasa menghadap Agong dua hari lalu, saya membincangkan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat yang memerlukan bantuan kerajaan untuk bertahan.

“Agong menyokong moratorium pinjaman bank automatik, kecuali (untuk kumpulan T20), dan lebih banyak bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan serta perniagaan,” kata setiausaha agung DAP. 

Agong berkenan terima menghadap pemimpin politik sejak Rabu, bermula dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang merupakan presiden Bersatu dan pemimpin Pakatan Harapan – Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Semalam, Agong terima menghadap Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Bekas menteri kewangan itu berkata di bawah moratorium semasa B40, bank menangguhkan bayaran pinjaman tanpa mengetepikan faedah, yang akhirnya menyebabkan kumulatif hutang pinjaman yang lebih tinggi.

Lim berkata Persekutuan Majikan Malaysia menyatakan kekecewaan mereka kerana moratorium pinjaman semasa tidak bebas faedah dan mahu bank mengetepikan faedah dan caj bank seperti penjadualan semula serta pembayaran faedah lewat.

“Mereka mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 50,000 PKS mungkin tidak beroperasi sekiranya penutupan berkuatkuasa selama empat minggu lagi. Kira-kira 100,000 PKS telah berhenti beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0,” katanya. – 11 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen