PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron semalam meminta kumpulan farmasi pengeluar vaksin Covid-19 untuk memberi sumbangan 10% pengeluarannya kepada negara miskin.
“Sumbangan dos oleh negara harus ditambah dengan sumbangan dos oleh syarikat farmaseutikal,” kata Macron pada sidang media, menambah negara membantu membiayai penyelidikan vaksin dan berhak untuk meminta sumbangan daripada syarikat terbabit.
Macron juga meminta pemimpin negara G7 yang bertemu di Britain hari ini untuk menyokong tujuan supaya 60% warga Afrika diberi vaksin pada akhir Mac 2022.
Matlamat 60% ditetapkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika.
Macron berkata angka itu lebih besar daripada diperuntukkan skim suntikan Covax untuk negara miskin, yang bertujuan untuk mengimunisasi 20% warga Afrika pada akhir 2021.
“Saya fikir ia adalah objektif baik dan inilah yang akan kami dukung di G7,” kata Macron pada sidang akhbar, merujuk kepada kadar liputan 60%.
Anggota Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menyumbangkan sekurang-kurangnya 100 juta dos vaksin Covid-19 pada akhir 2021, dengan Perancis dan Jerman masing-masing komited menyediakan 30 juta dos. – AFP, 11 Jun, 2021.
Komen