PENINDASAN terhadap ratusan ribu masyarakat minoriti Islam Uyghur di China adalah jenayah terhadap kemanusiaan, kata satu laporan yang dikeluarkan semalam oleh kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International.
Dalam dokumen setebal 160 muka surat yang memasukkan testimoni daripada bekas tahanan di kem di wilayah barat laut China, Xinjiang itu, Amnesty memperincikan mengenai apa yang dipanggil sebagai “pemenjaraan beramai-ramai terancang negara yang sistematik, penderaan dan penyeksaan yang sama dengan jenayah terhadap kemanusiaan”.
Laporan itu mendokumenkan langkah melampau pihak berkuasa China sejak 2017 terhadap Uyghur dan etnik lain daripada minoriti Turki.
“Pihak berkuasa China mencipta pemandangan neraka distopia dalam skala yang mengejutkan,” kata Setiausaha Agung Amnesty Agnès Callamard.
Minoriti Muslim berdepan jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan serius hak asasi manusia yang lain,” katanya dan menambah penderaan itu hati nurani kemanusiaan.
Laporan itu mendokumenkan bagaimana sejak awal 2017, sejumlah besar lelaki dan wanita di Xinjiang ditahan sewenang-wenangnya.
“Mereka merangkumi ratusan ribu dihantar ke penjara, tambahan kepada ratusan ribu lagi, mungkin sehingga sejuta atau lebih yang sudah dihantar ke kem tahanan,” kata laporan itu.
Lebih 50 bekas tahanan yang ditemubual Amnesty berkata mereka ditahan kerana melakukan perbuatan seperti memiliki gambar bertemakan agama atau berkomunikasi dengan seseorang di luar negara.
Ramai tahanan menggambarkan mereka pada mulanya dibawa untuk disoal siasat di balai polis, di mana mereka didudukkan di atas kerusi besi berserta besi kaki dan bergari.
Mereka berkata dipukul, kurang tidur dan kesesakan adalah perkara biasa, di kem tahanan yang sangat ketat itu, mereka tidak ada privasi atau autonomi serta berisiko dikenakan tindakan keras. –AFP, 11 Jun, 2021.
Komen