MAHKAMAH semalam menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap lelaki yang menampar muka Presiden Emmanuel Macron.
Tertuduh berkata beliau berbuat demikian kerana bengang melihat muka pemimpin Perancis itu yang “peramah dan pembohong”.
Damien Tarel, 28, dikenakan penjara 18 bulan kerana menampar presiden.
Tertuduh ditahan sejak insiden itu di mana pendakwa memberitahu mahkamah perbuatannya itu tidak boleh diterima langsung dan ia tindakan sengaja melakukan keganasan.
Tarel terus menjalani hukumannya selepas keputusan mahkamah di Valence.
Ketika disoal siasat, Tarel memberitahu pegawai penyiasat tindakannya itu secara spontan dan dilakukan tanpa berfikir, ketika menunggu Macron di luar sebuah sekolah di kawasan perumahan Tain-l’Hermitage.
Di mahkamah, Tarel meluahkan rasa simpatinya terhadap gerakan anti kerajaan “jaket kuning” dan berkata beliau dan dua rakannya mempertimbangkan untuk membaling telur atau pai ke arah Macron ketika lawatannya ke wilayah Drome, menurut stesen televisyen BFM.
Tarel, yang menganggur dan menumpang bantuan diterima teman wanitanya yang kurang upaya, berkata beliau menyampah apabila Macron datang menegur dan mahu bersalam dengannya.
“Ia perbuatan memancing undi dan saya tidak suka,” katanya dipetik BFM.
Di mahkamah, Tarel berkata ia adalah strategi Macron untuk menyasarkan golongan muda Perancis kerana presiden itu sedang bersiap sedia untuk bertanding pilihan raya tahun depan.
Dalam video insiden itu, Macron yang tersenyum dilihat berjalan ke arah orang ramai termasuk Tarel.
“Bila saya Nampak mukanya yang ramah dan pembohong itu saya faham dia mahu menjadikan saya seseorang yang akan mengundinya,” kata Tarel di mahkamah.
Tarel berkata dia menampar muka presiden itu kerana hatinya membuak-buak dengan rasa tidak adil
Dalam keputusannya, mahkamah memerintahkan Tarel mencari kerja atau menjalani program latihan kerja, dan melarangnya membawa sebarang senjata bagi tempoh lima tahun. – AFP, 11 Jun, 2021.
Komen