2 maut insiden tembakan di Florida


Polis berkawal di kedai runcit Publix di Royal Palm, 130km utara Miami susulan insiden tembakan menyebabkan dua terbunuh. – Gambar EPA, 11 Jun, 2021.

DUA individu  maut termasuk seorang kanak-kanak selepas ditembak dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah kedai runcit di Florida semalam.

Insiden itu – di mana penembaknya turut membunuh diri – berlaku di kedai runcit Publix di Royal Palm, 130km utara Miami, kata polis.

“Ketika polis tiba, tiga individu ditemui mati akibat tembakan, seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak,” kata pejabat polis Palm Beach.

“Penembak antara yang maut.”

Penembak menembak diri sendiri, kata jurucakap pejabat polis Teri Barbera.

Ini insiden terbaru tembakan rawak di selatan Florida.

Pada Ahad, tiga terbunuh dan lima cedera dalam satu parti di Miami.

Dua terbunuh dan 20 yang lain cedera seminggu sebelum itu selepas tiga penembak melepaskan tembakan ke arah orang ramai di luar kawasan konsert di Miami, kata polis.

Tembakan beramai-ramai berlaku di seluruh Amerika Syarikat tahun ini, di mana Presiden Joe Biden melabel insiden keganasan itu sebagai “epidemik”. – AFP, 11 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen