Kemalangan LRT, jawatan GLC dan budaya politik Malaysia


KECELARUAN dunia politik tanah air yang kian meruncing semakin membangkitkan kemarahan rakyat.

Malaysia mengatasi India dalam jumlah kes positif Covid-19 bagi setiap sejuta penduduk. Kadar vaksinasi juga sangat merisaukan, terutama sekali masalah capaian dalam kalangan masyarakat luar bandar, warga emas dan golongan terpinggir.

Dalam kita dilanda krisis kesihatan yang tidak tentu penghujungnya, negara dikejutkan pula dengan kemalangan ngeri melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung di antara stesen KLCC dan Kampung Baru.

Belum pernah lagi kemalangan seteruk ini berlaku sejak LRT mula beroperasi pada 1998.

Lebih malang lagi, tampil pula bekas pengerusi Prasarana Malaysia Berhad di kaca televisyen memburukkan lagi keadaan.

Tajuddin Abdul Rahman yang juga ahli Parlimen Pasir Salak dikecam hebat kerana meremehkan kemalangan LRT tersebut, sekali gus menghina mangsa kejadian, menghina wartawan dan meletakkan kepentingan dirinya sendiri sebelum kebajikan mangsa.

Tambahan pula, beliau gagal memakai pelitup muka, walhal seorang pemimpin sepertinya sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik buat rakyat dalam melawan pandemik Covid-19 ini.

Tidak hairanlah rakyat Malaysia saban hari semakin marah dengan kepimpinan kerajaan dilihat tidak prihatin dengan nasib rakyat yang kian melarat.

Tanda pagar #KerajaanGagal menjadi trend di laman Twitter dan rakyat semakin berani menyuarakan pendapat tentang pihak penguasa yang dilihat tidak cakna dengan penderitaan mereka.

Dua hari selepas sidang media yang dikecam ramai itu, tular surat menteri kewangan yang memecat Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana, berkuat kuasa serta merta.

Isu pokok

Walaupun pemecatan ini satu perkembangan yang positif, memecat seorang pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanyalah satu penyelesaian jangka pendek.

Antara persoalan lain yang perlu dirungkai ialah, bagaimana seorang individu seperti Tajuddin boleh dipilih menjadi pengerusi Prasarana?

Mengapa ahli politik begitu tertarik untuk menjadi pengerusi GLC?

Walaupun Tajuddin dipecat, adakah sokongan beliau sebagai seorang ahli Parlimen akan terjejas?

Ketika rakyat sedang marah dengan apa yang berlaku dalam tragedi LRT tempoh hari, perkara pertama perlu diingat ialah, Tajuddin dilantik menjadi pengerusi Prasarana kerana beliau ahli Parlimen yang sah diundi penduduk Pasir Salak.

Hakikat ini perlu kita faham dan hadam – kemarahan rakyat di peringkat nasional tidak akan menjatuhkan beliau daripada tampuk kuasa sepenuhnya.

Hanya pengundi di Pasir Salak mampu menentukan nasib Tajuddin dalam arus politik tanah air.

Ramai juga ingat kepada kejadian ketika Tajuddin memanggil Syed Saddiq “budak” di Parlimen ketika perdebatan belanjawan tahun lepas dan tertanya-tanya apa sebenarnya kayu ukur kaliber seorang yang layak dipanggil ahli Parlimen di Malaysia.

Mungkin ini soalan yang patut ditujukan kepada pengundi beliau di Pasir Salak.

Kriteria terajui GLC

Persoalan seterusnya, apa sebenarnya kriteria lantikan seorang pengerusi GLC?

Pada ketika ini, tiada undang-undang mengawal selia pentadbiran GLC secara menyeluruh. Ini termasuklah lantikan ke Lembaga Pengarah dan pengurusan GLC, kecuali badan berkanun dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sebuah GLC seperti Prasarana yang dimiliki sepenuhnya kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) tertakluk kepada Akta MoF Inc 1957 yang tidak menetapkan syarat lantikan Lembaga Pengarah mahupun Badan Pengurusan.

Memandangkan menteri kewangan merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas MoF Inc, pelantikan pengerusi Prasarana juga tertakluk di bawah bidang kuasa menteri kewangan.

Kurangnya ketelusan dan semak imbang dalam proses pelantikan Lembaga Pengarah dan Badan Pengurusan GLC inilah yang perlu ditambah baik melalui penggubalan undang-undang dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

Peranan PSC dalam memantau pelantikan dan pemecatan Lembaga Pengarah atau Badan Pengurusan sebuah GLC harus diperkasa.

Selagi proses pelantikan dan pemecatan individu-individu yang bertanggungjawab menjaga aset dan perkhidmatan negara tidak ditambah baik, sudah tentu lebih banyak kes seperti Prasarana akan berlaku pada masa akan datang.

Hubungan pengundi, wakil rakyat

Persoalan yang cukup menarik untuk dikaji ialah hubungan antara pengundi dan wakil rakyat mereka.

Netizen sering berjenaka tentang ahli politik yang tidak menjalankan tugas mereka dengan baik, atau tidak layak menjadi menteri.

Namun, ramai yang lupa individu seperti ini sebenarnya mendapat sokongan penuh pengundi mereka.

Buat pemerhati politik peringkat nasional, mungkin sokongan ini sesuatu yang pelik dan menghairankan, tetapi wajar diingat populariti seorang wakil rakyat di Malaysia bergantung kepada khidmat mereka di kawasan masing-masing.

Selagi kebajikan penduduk kawasan dijaga dengan baik dan keperluan ditunaikan, lazimnya sentimen negatif di peringkat nasional tidak mendatangkan kesan buruk kepada seseorang ahli politik.

Dalam mengkaji hubungan antara seorang wakil rakyat dan pengundinya, cara ahli politik dibiayai merupakan salah satu faktor yang wajar diambil kira.

Selain itu, kebolehan memenuhi keperluan rakyat, terutamanya golongan rentan, banyak mempengaruhi cara ekosistem politik Malaysia berfungsi.

Letak jawatan

Apabila berlaku krisis seperti Covid-19 atau tragedi LRT, rakyat Malaysia sering melihat kepada negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia, di mana menteri mereka dengan rela hati meletakkan jawatan jika didapati melakukan kesalahan atau gagal menangani krisis di negara masing-masing.

Perlu diingat, tindakan meletakkan jawatan seperti ini tidak mungkin didorong oleh sikap altruistik semata-mata. Ahli politik, seperti juga manusia biasa, selalunya bertindak mengikut kepentingan diri.

Besar kemungkinan, jika ahli politik di Jepun, Korea Selatan dan Australia terus menyandang jawatan ketika terpalit skandal dan krisis, maka mereka akan dihukum pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Tahap kematangan politik mereka bermaksud, kebertanggungjawapan (accountability) mempunyai hubung kait rapat dengan kemandirian politik (political survival).

Inilah persoalan lebih besar yang harus difikir bersama – bagaimana kita sebagai sebuah negara membina kematangan politik supaya kesalahan besar yang membunuh kepercayaan rakyat dan memusnahkan integriti institusi dapat mengakhiri kerjaya seorang ahli politik?

Jawapannya bukan mudah, namun kecelaruan politik yang melanda Malaysia sekarang patut dijadikan pemangkin untuk kita sama-sama membina semula budaya politik agar setiap wakil rakyat hanya diberi ganjaran undi apabila berjaya melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik dan bukan yang sebaliknya. – 11 Jun, 2021.

* Aira Azhari ialah penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen