PKR kecam usaha ahli Parlimen dapatkan jawatan dalam kerajaan


Elill Easwaran

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata tindakan terdesak oleh beberapa ahli Parlimen bagi mendapatkan jawatan dalam kerajaan wajar ditolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2021.

PKR mengecam usaha beberapa ahli Parlimen untuk mendapatkan Perakuan Berkanun (SD) bagi mendapatkan jawatan di dalam petadbiran kerajaan ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata bahawa parti itu difahamkan ahli-ahli Parlimen itu berbuat demikian bagi mendapatkan “restu” Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan kami percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis.

“Parti mengambil pendirian nama DYMM Tuanku tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang halatuju kepimpinan negara kita pada ketika ini.

“Tindakan terdesak kelompok ini wajar ditolak oleh rakyat,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Beliau bagaimanapun tidak nenyatakan siapa ahli Parlimen berkenaan.

The Vibes dalam sumber yang dipetiknya melaporkan terdapat gerakan oleh pimpinan tertinggi Umno untuk menaikkan Hishammuddin Hussein sebagai calon timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun Hishammuddin menerusi Twitter berkata bahawa beliau tidak berminat dengan khabar angin.

“Seperti yang dinyatakan dalam artikel, ini adalah khabar angin dan saya tidak melayan khabar angin.

“Kita hanya perlu menumpukan perhatian terhadap Covid-19 dan memperkuat ekonomi kita,” katanya.

Khabar angin itu bermula selepas Agong berkenan mengadap pemimpin parti pembangkang selama dua hari terakhir ini bagi mengumpulkan maklum balas mengenai pelbagai isu bermula dengan pandemik Covid-19 yang berlaku sehingga darurat di negara ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi ketua parti seterusnya yang akan hadir mengadap Agong esok.

Mesyuarat itu diadakan menjelang persidangan khas raja-raja Melayu Rabu depan. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen