Tuan Ibrahim wakil Abdul Hadi mengadap Agong


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan mewakili Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2021.

TUAN Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau mewakili Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Timbalan Presiden PAS berkata Abdul Hadi masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Tuan Ibrahim, dalam pertemuan hampir sejam, beliau membangkitkan pandangan PAS mengenai isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.

“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19 yang sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Tuan Ibrahim tidak mengulas lanjut butir perbincangan beliau dengan Al-Sultan Abdullah, sebaliknya mengulangi ketegasan Abdul Hadi seperti dalam satu kenyataan semalam.

“PAS merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini,” katanya.

PAS juga mengerahkan jentera parti untuk membantu kempen vaksinasi Covid-19 dan menjadi pemudah cara membantu rakyat yang memerlukan, tambahnya.

Semalam, Abdul Hadi dalam satu kenyataan dari IJN menggesa tindakan tegas diambil “tanpa was-was” terhadap pihak yang mahu menggugat dan menyingkirkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hadi menyamakan kelompok itu, yang tidak beliau namakan, dengan orang yang menebuk bahtera dari dalam, seperti yang pernah disebut oleh Nabi Muhammad. – 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen