SEMUA permata bernilai jutaan ringgit yang dirompak di hotel Ritz, Paris telah ditemui semula, dalam masa sama polis Perancis sedang sibuk mencari dua perompak itu, kata sumber.
Dalam siri rompakan terbaharu di Perancis itu, sekumpulan perompak bersenjatakan kapak dan pistol itu telah memecah masuk hotel lima bintang di Place Vendome, Paris pada Rabu petang sebelum memecahkan cermin kedai permata yang terletak di aras bawah bangunan.
Perompak-perompak itu, yang mengenakan penutup muka dan sarung tangan, memecah masuk melalui pintu laluan pekerja sebelum mengambil permata dan jam tangan bernilai lebih AS$4.8 juta.
Bagaimanapun, rancangan mereka mula terdedah sebaik cuba melarikan diri bila tiga orang ditahan setelah terperangkap dalam bilik yang terkunci.
Beberapa barang rompakan diperoleh semula, kata sumber.
Tiga lelaki yang ditahan berumur sekitar 30 tahun dan berasal dari bahagian utara Paris, iaitu Seine-Saint-Denis.
Kawasan itu “terkenal kerana aktiviti rompakan bersenjata, jenayah, dan barangan curi,” kata sumber.
Rompakan yang berlaku pada Rabu itu bermula selepas 18 bulan ditutup kerana kerja membaik pulih Rit’z.
Dalam keadaan kucar-kacir untuk mencari jalan keluar, pencuri itu membaling barang curi ke luar tingkap untuk di bawa lari oleh dua rakan mereka yang tunggu di luar.
Salah seorang dari dua itu melarikan diri menggunakan kereta yang kemudiannya dijumpai terbengkalai di utara Paris.
Seorang lagi melarikan diri dengan motorsikal, menunggang melawan arus, sambil menjatuhkan beg berisi permata selain mengganggu pejalan kaki.
Bagaimanapun pengurusan hotel menolak untuk memberi sebarang komen berhubung kes rompakan ini. – AFP, 12 Januari, 2018.
Komen