SEBUAH mahkamah di Rusia melabel organisasi politik pengkritik Kremlin yang dipenjarakan, Alexei Navalny sebagai ekstremis dan melarangnya beroperasi di negara itu.
Ia menjadi satu lagi tamparan kepada pembangkang yang dilancarkan menjelang pilihan raya parlimen.
Perintah itu bakal mengakhiri organisasi anti rasuah Navalny, yang membangkitkan fokus terhadap isu rasuah di peringkat tertinggi dan rangkaian pejabat politiknya menjangkau warga Rusia kebanyakan di luar Moscow.
“Didapati organisasi ini menyebarkan maklumat yang menyebabkan kebencian dan permusuhan terhadap pegawai kerajaan dan melakukan tindakan ekstremis,” kata jurucakap pendakwa raya, Alexei Zhafyarov di luar mahkamah.
Kenyataan di Mahkamah Bandar Moscow yang diedarkan kepada wartawan selepas sesi 12 jam yang diadakan secara tertutup itu menyatakan keputusan hakim itu berkuat kuasa serta merta.
Navalny, 45, yang dipenjarakan awal tahun ini sebaik saja pulang ke Rusia dari Jerman, di mana dia pulih daripada serangan racun, berjanji terus berjuang walaupun dikenakan perintah itu.
Dalam satu muat naik di Instagram, dia mengakui penyokongnya akan memerlukan perubahan cara bekerja dan menggesa mereka untuk “menyesuaikan diri”.
“Bagaimanapun, kami tidak akan berundur daripada tujuan dan idea kami. Ini adalah negara kami dan kami tidak mempunyai negara lain.”
Pendakwa raya pada April memohon rangkaian pejabat serantau Navalny dan Yayasan Anti Rasuah (FBK) miliknya dilabelkan ekstremis, dengan menyatakan kumpulan itu merancang pemberontakan dengan sokongan daripada Barat.
Dalam sesi yang diadakan secara tertutup itu, peguam FBK berkata mereka memohon perbicaraan itu dibuat secara umum dan Navalny dipanggil sebagai saksi, yang mana ia antara permohonan yang ditolak. – AFP, 10 Jun, 2021.
Komen