Biden batal pelan haramkan TikTok, WeChat


Pentadbiran Joe Biden semalam batal arahan eksekutif Donald Trump yang melarang aplikasi mudah alih milik China, Tik Tok dan WeChat disebabkan masalah keselamatan negara. – Gambar EPA, 10 Jun, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam membatalkan arahan eksekutif daripada presiden sebelumnya, Donald Trump yang melarang aplikasi mudah alih milik China, Tik Tok dan WeChat disebabkan masalah keselamatan negara, kata White House.

Satu kenyataan berkata pentadbiran Biden akan melaksanakan kerangka keputusan berdasarkan kriteria dan ketat, serta analisis untuk menangani risiko daripada aplikasi Internet yang dikendalikan entiti asing.

Trump sebelum ini mendakwa aplikasi itu menimbulkan risiko keselamatan negara dan berusaha memaksa penjualan TikTok, yang dimiliki ByteDance berpangkalan di China dan kekal menjadi salah satu aplikasi media sosial paling popular di dunia, kepada pelabur AS.

Usaha dilakukan pentadbiran Trump itu menyebabkan siri cabaran perundangan menangguhkan usaha untuk melarang atau memaksa penjualan aplikasi itu, yang meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dan Beijing.

Setakat ini tiada ada sebarang komen segera daripada dua syarikat berkenaan.

Biden mengeluarkan arahan eksekutif baharu itu menyatakan kecemasan berterusan berkaitan usaha berterusan musuh asing untuk mencuri atau memperoleh data warga AS dan menggesa semakan semula selama empat bulan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Texas, Bobby Chesne yang mengikuti isu keselamatan nasional, menyifatkan arahan Biden itu sebagai “jalan tengah yang baik”. – AFP, 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen