Khairy siasat dakwaan proses vaksinasi tidak teratur di Langkawi


Raevathi Supramaniam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata siasatan dakwaan penduduk Langkawi yang tidak layak terima vaksin di bawah Fasa 3 menerima suntikan, akan disiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2021.

SIASATAN akan dibuat berhubung dakwaan penduduk Langkawi yang tidak layak divaksinasi di bawah Fasa 2 program imunisasi, sudah menerima suntikan mereka, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memberitahu The Malaysian Insight beliau akan menyemak status vaksinasi di pulau itu.

“Saya kena periksa status di Langkawi. Garis panduannya, kalau ramai tidak hadir, pusat vaksinasi boleh panggil orang yang berada dalam senarai (menunggu) seterusnya,” katanya.

Beliau yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi menambah, beberapa negeri juga mula mengimunisasi penerima Fasa 3.

“Tetapi saya akan siasat dakwaan ini,” katanya.

Terdapat rungutan penduduk di Langkawi yang mendakwa individu berusia 20-an dan 30-an, yang sepatutnya berada dalam Fasa 3, menerima suntikan terlebih dulu sebelum penerima Fasa 2.

Penduduk Langkawi, T. Karina Tunku Shamsul Bahrin, 52, mempersoalkan kenapa orang muda dan sihat ini diutamakan berbanding orang dalam kategori umurnya.

“Mengapa temujanji tak diberikan ikut umur? Kenapa orang yang lebih muda daripada saya, tanpa sebarang penyakit, diberi vaksin?” soalnya.

Karina berkata, kerajaan perlu lebih telus dengan program imunisasi.

Beliau menghantar surat kepada Khairy, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan penjelasan namun belum mendapat balasan.

“Saya hubungi pejabat kesihatan daerah di Langkawi. Mereka cakap mereka tidak ada bidang kuasa berkenaan temujanji. Talian MySejahtera juga bagi respons yang sama kepada saya,” katanya.

Fasa 1 PICK bermula pada 26 Februari, melibatkan 500,000 barisan hadapan.

Fasa 2 dijadualkan dari April hingga Ogos untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan berisiko tinggi.

Fasa 3 dijadualkan bermula dari Mei hingga Februari 2022, bertujuan mengimunsasi kira-kira 13.7 juta individu berusia 18 tahun ke atas, baik warganegara mahupun bukan.

Cheah, pelajar perubatan berusia 24 tahun, salah seorang penerima vaksin di pulau itu.

Dia mendapat dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 25 Mei di klinik kesihatan Ayer Hangat dan dijadualkan menerima dos kedua pada 15 Jun.

“Saya mendaftar secara sukarela di klinik kesihatan untuk ambil vaksin Sinovac kerana ia tidak dapat sambutan di sini. Saya daftar nama dalam senarai menunggu. Sebagai pelajar perubatan saya pergi ke hospital setiap hari dan terdedah kepada risiko.

“Saya kemudian menerima panggilan dari klinik dengan tarikh temujanji dan diminta datang pada 25 Mei. Saya diberi Pfizer kerana Sinovac habis,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang baru pindah ke Langkawi untuk bekerja berkata, rakannya menerima teks WhatsApp meminta mereka yang berminat mendapat vaksin mendaftar secara manual di klinik kesihatan Ayer Hangat.

“Kami dapat teks dan pergi ke klinik kesihatan untuk daftar. Mereka minta kami tulis nama, pengenalan diri dan nombor telefon. Saya lihat ramai yang datang mendaftar adalah orang tua,” kata wanita berusia 31 tahun itu.

Selepas tiga hari, dia mendapat panggilan dari klinik kesihatan memberitahu perlu datang pada 26 Mei untuk suntikan pertamanya.

“Saya dapat dos pertama vaksin Pfizer pada 26 Mei dan dos kedua dijadualkan pada 15 Jun. Semua 10 kawan saya yang mendaftar sekali dengan saya juga menerima suntikan,” katanya. – 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen