.jpg)
MALAYSIA berada dalam keadaan yang begitu sukar. Rakyat tersudut di kedudukan yang amat sukar dan perit menghadapi hari-hari mendatang dengan kesan pandemik, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Rakyat amat-amat mendambakan permasalahan pandemik dan ekonomi ditangani secara baik dan kembali pulih segera tanpa mempedulikan siapa yang memerintah negara.
Tambah membimbangkan, generasi pewaris negara berada dalam keadaan yang merungsingkan dengan keadaan masa depan mereka yang kelam. Banyak laporan antarabangsa termasuk World Bank menyebut bahawa kita berhadapan dengan situasi ‘generasi yang hilang’ atau lost generation.
Lihatlah ke mana nasib adik-adik dan anak-anak kita, khususnya yang baru masuk alam persekolahan dan di pra-sekolah yang bergelut dengan keadaan pembelajaran yang sukar.
Begitu juga yang kehilangan motivasi, masalah kefahaman dan pelbagai lagi masalah pembelajaran daripada sekolah rendah hingga ke institut pengajian tinggi dan kemahiran yang menyebabkan kita akan kehilangan satu generasi pewaris.
Menurut pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad dalam salah satu temuramah di Astro Awani, masih tiada kajian impak terhadap kesan Covid-19 kepada pembelajaran pelajar di sekolah sedangkan kita memerlukan data di akar umbi untuk menangani kesenjangan pendidikan secara berkesan.
Dr Nazrul dan Dr Nurul (2021) melaporkan keadaan kesihatan mental yang membimbangkan dalam kalangan generasi muda dalam makalah ilmiah mereka bertajuk “The Fear of Covid-19 Among Malaysian Youths”. Tulisan ini melaporkan bahawa “The people’s anxiety worsened when they saw the case figures, especially the death cases displayed by the media”.
Tulisan berdasarkan kajian ini juga merumuskan bahawa pandemik Covid-19 mencetuskan ketakutan dan kegusaran kepada rakyat dan belia Malaysia, khususnya apabila melihat kenaikan angka pesakit dan kematian setiap hari.
Pelajar berasa tertekan dan kebimbangan disebabkan kesempitan kewangan, kaedah pembelajaran yang sukar, ketidakpastian pencapaian akademik dan kerjaya masa depan.
Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Program Kemahiran Insaniah (PROKENS) mengesahkan bahawa kebanyakan belia yang dilatih dalam program kebolehpasaran belia ini bimbang akan kerjaya dan masa depan mereka disebabkan Covid-19.
Kesemua ini perlu diberikan perhatian dan memerlukan tindakan tuntas.
Harapan dan jalan keluar harus ditunjukkan segera kepada mereka selain menyuntik daya tahan dan daya juang untuk bangkit.
Covid-19 menyebabkan kemelesetan sosial atau social recession sehingga dikhuatiri menyebabkan lebih ramai belia yang hilang harapan, membunuh diri, keluarga muda bercerai dan peningkatan keganasan rumahtangga.
Dengan kes yang kekal meningkat, Covid-19 juga tidak mengenal usia, mula meragut nyawa kanak-kanak dan anak muda, dan ini menambah lagi kebimbangan. Kelihatannya Malaysia kehilangan aset dan bakat muda dalam segenap sudut.
Covid-19 meragut banyak impian anak muda meneruskan kerjaya, pembelajaran dan kesejahteraan kehidupan. Generasi yang hilang perlukan harapan baharu bagi menghidupkan impian dan masa depan mereka.
Kegawatan ini memerlukan tindakan bersepadu. Dalam konteks politik, ia memerlukan kolaborasi dwi-partisan bahkan cross-partisan.
Parlimen harus bersidang sama-ada secara fizikal mahupun hibrid bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian tuntas demi rakyat dan masa depan pewaris negara ini.
Peguam Salleh Buang menyebut dalam ruangan pojoknya di NST ketika mengulas implementasi persidangan hibrid oleh Parlimen Kanada: “The lesson for us is that while Canada took just a few months to implement a hybrid session of its House of Commons, we took a much longer time to proceed along that direction. Nevertheless, better late than never”.
Masih belum terlambat, lupakan seketika perbezaan walaupun diakui tidak mudah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan sistem kesihatan.
Kebimbangan rakyat adalah jangan ulangi Parlimen sebagai tempat bercakaran (sekurang-kurangnya buat seketika), yang akan menyumbang kepada defisit kepercayaan anak muda kepada sistem demokrasi negara.
Jiwa besar ini pastinya akan diingati oleh generasi muda kerana jika perkara ini benar-benar berlaku, kalian akan dikenang dalam lipatan sejarah kerana menyalakan obor harapan kepada the lost generation ini untuk keluar dari lubuk kelemasan dan terowong kegelapan. Bantulah mereka!
MBM yakin Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan berhikmah, saksama dan bijak selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti tanahair demi masa depan negara.
Malaysia perlukan solidariti semua, whole government, whole opposition, whole society and whole youth untuk keluar daripada tribulasi besar ini. – 9 Jun, 2021.
* Jufitri Joha, presiden Majlis Belia Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen