PM Kanada kutuk pengganas rempuh, bunuh keluarga Muslim


Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyampaikan ucapan kepada masyarakat Islam dan penyokongnya di Masjid Muslim London pada 8 Jun 2021 di London, Kanada. Ucapannya diadakan sehari selepas serangan ganas merempuah sekeluarga Muslim mengakitbatkan empat mati dan seornag kanak-kanak berusia 9 tahun cedera parah. – Gambar AFP, 9 Jun, 2021.

PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau pada Selasa mengecam pembunuhan empat beranak Muslim, yang dirempuh oleh pemandu trak pikap sebagai serangan keganas didorong kebencian mendalam, selain mendesak rakyatnya menolak perkara sedemikian.

Mangsa yang terbunuh pada Ahad itu ialah empat sekeluarga dari tiga generasi iaitu seorang wanita berumur 76 tahun, seorang lelaki, 46, dan wanita, 44, yang merupakan suami isteri dan anak perempuan mereka, 15.

Seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berumur sembilan tahun cedera parah dan dirawat di hospital.

Lelaki berumur 20 tahun itu, yang melarikan diri selepas rempuhan, kemudian ditahan di sebuah pusat membeli-belah yang terletak tujuh kilometer dari tempat kejadian, kata pegawai penyiasat.

“Pembunuhan ini dirancang. Ini adalah serangan pengganas, yang didorong kebencian,” kata Trudeau semasa bercakap di Dewan Rakyat.

Pemimpin Kanada itu kemudian bercakap kepada ribuan orang di masjid yang dihadiri keluarga itu, bercakap secara langsung dengan masyarakat Islam negara itu.

“Anda tidak bersendirian. Semua orang Kanada berkabung dengan anda, dan berdiri bersama anda malam ini,” katanya di tempat yang dihadiri oleh semua pemimpin politik negara itu.

Katanya Kanada “tidak kebal” terhadap peningkatan diskriminasi dan perpecahan yang disaksikan di tempat lain di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bersama-sama, kita dapat mengatasi kegelapan dan intoleransi ini,” katanya.

Para penduduk London di Kanada tanpa mengira agama dan usia serta bangsa turun mengadakan perhimpunan membantah serangan kejam yang digelar PM Kanada sebagai serangan pengganas terhadap Muslim. – Gambar AFP, 9 Jun, 2021.

Serangan ini mengejutkan Kanada yang menyaksikan pelbagai kejadian seumpamanya sejak kebelakangan, lapor Al-Jazeera.

Antara 2015 hingga 2019, Majlis Muslim Kebangsaan Kanada merekodkan lebih 300 kejadian, termasuk lebih daripada 30 yang melibatkan keganasan fizikal. 

Ini termasuk serangan tembakan ke atas Pusat Kebudayaan Islam di Quebec pada Januari 2017, yang membunuh enam orang dan menyebabkan 19 cedera dan disifatkan terburuk dalam sejarah Kanada. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen