SEORANG suri rumah Singapura berusia 34 tahun dan bekas guru agama sambilan dikenakan Perintah Penahanan (OD), di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISA) pada April 2021.
Ruqayyah Ramli sebelumnya dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah ISA pada Ogos 2020, setelah didapati bersikap radikal oleh suaminya, kata ISD dalam laman webnya hari ini.
Suaminya, Mohd Firdaus Kamal Intdzam, seorang warganegara Malaysia, dihantar pulang pada Ogos 2020.
Menurut Jabatan berkenaan, siasatan pada masa itu membuktikan bahawa tertuduh telah menyokong niat Firdaus untuk bergabung dan berjuang untuk kumpulan ISIS di Syria.
Dia bersedia menemaninya ke zon konflik, dengan niat untuk menjaga keluarga dan membantu pejuang ISIS yang cedera, kata ISD.
Namun, ISD mengatakan sejak ditempatkan di bawah RO, tingkah laku radikal Ruqayyah bertambah buruk lagi dengan penglibatan beliau dalam kegiatan yang memudaratkan keselamatan Singapura.
“Ruqayyah telah menolak untuk menyertai mana-mana program pemulihan, dan tetap berpegang teguh dengan kepercayaan radikalnya.
“Dia terus menyokong tindakan ganas ISIS dan percaya pada penggunaan kekerasan terhadap musuh-musuh Islam yang diandaikannya,” kata jabatan itu.
Selain itu, bertentangan dengan syarat RO, ISD mengatakan tertuduh terus berkomunikasi dalam talian dengan penyokong ISIS luar negara yang merupakan rakan sekutu Firdaus.
Oleh itu, Ruqayyah ditahan untuk menghalangnya daripada terus terjebak ke jalan radikal yang ganas, katanya.
Seseorang yang dikenakan RO mesti mematuhi beberapa syarat dan sekatan, antara lain, individu itu tidak dapat mengakses Internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, menganjurkan perjumpaan awam atau mencetak, menyebar, menyumbang kepada sebarang penerbitan, memegang jawatan, atau menjadi anggota mana-mana organisasi, persatuan atau kumpulan, tanpa persetujuan pengarah ISD. – Bernama, 9 Jun, 2021.
Komen