China ambil langkah bersepadu lindungi biodiversiti hidupan marin


Untuk melindungi haiwan terancam, China mewujudkan beberapa kawasan simpanan semula jadi melibatkan perairan seluas 1.56 juta hektar. – Gambar fail EPA, 9 Jun, 2021.

CHINA menyambut Hari Lautan Sedunia ke-13 semalam dengan tema “Lindung Biodiversiti Hidupan Laut, Wujud Simbiosis Manusia dan Alam”.

Berkat langkah berprofil tinggi kerajaan, habitat dan populasi hidupan marin nadir diberi perlindungan baik, sementara usaha memulihara biodiversiti membuahkan hasil ketara.

Merujuk kepada senarai semakan baharu spesies hidupan liar terpelihara, anjing laut berbintik, satu-satunya mamalia pinniped yang hanya dapat membiak di perairan China telah diberikan perlindungan kelas tertinggi peringkat negara.

Untuk melindungi haiwan terancam itu, China telah mewujudkan beberapa kawasan simpanan semula jadi melibatkan perairan seluas 1.56 juta hektar.

Selain itu, pembiakan secara buatan juga antara pendekatan penting untuk melindungi spesies nadir dan hampir pupus.

Di Kawasan Simpanan Semula Jadi Penyu Laut Huidong di wilayah Guangdong misalnya, penetasan telur dan pengeraman beradas di persekitaran buatan manusia turut diwujudkan.

Persekitaran ekologi marin di China terus bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, isu seperti pencemaran mikroplastik masih perlu diberikan perhatian.

Wakil ketua WildAid ke Beijing, Yu Chong ketika ditemu bual berkata, China telah mempertingkat langkah bagi mengurangkan pengeluaran dan penggunaan produk plastik pakai buang.

“Kerajaan China bertekad mengawal pencemaran daripada sisa plastik pakai buang menerusi penggubalan dasar berkenaan.

“Dengan itu, penglibatan masyarakat dalam kempen menjaga alam sekitar turut ditingkatkan,” katanya. – Bernama, 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen