Barisan hadapan ekonomi divaksin pada fasa 4, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira majoriti kluster membabitkan tempat kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2021.

BARISAN hadapan ekonomi akan dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 4 bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja, kata Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga menteri penyelaras PICK berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira majoriti kluster membabitkan tempat kerja.

Menurut Kementerian Kesihatan sebanyak 92 kluster tempat kerja dikesan sejak 30 Mei hingga 5 Jun.

“Ini untuk sektor ekonomi kritikal, terutamanya mereka yang perlu beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk sektor pembuatan, eksport, logistik, utiliti dan lain-lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (​CITF) akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (​MITI), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta agensi-agensi kerajaan dalam melaksanakan program pemberian vaksin Fasa 4.

Menurut Khairy, program pemberian vaksin kepada sektor industri akan bermula 16 Jun di Pengerang, Johor, kerana kawasan itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

Pemberian vaksin akan dimulakan dengan pekerja-pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang, dan akan dikendalikan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah KKM.

Berkenaan bekalan vaksin Covid-19, Khairy berkata Malaysia akan menerima 225,810 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 9 Jun ini, manakala 191,800 dos pada 10 Jun. Sebanyak 26,910 dos lagi akan diterima pada 11 Jun, katanya.  – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen