Majlis Keselamatan PBB sokong Guterres untuk penggal kedua


Majlis Keselamatan PBB sokong pencalonan Setiausaha Agung António Guterres untuk penggal kedua bagi tempoh lima tahun. – Gambar EPA, 9 Jun, 2021.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong pencalonan Setiausaha Agung António Guterres untuk penggal kedua bagi tempoh lima tahun.

Duta Besar Estonia untuk PBB Sven Jurgenson yang bertindak sebagai  presiden Majlis Keselamatan bagi Jun, mengumumkan sokongan itu selepas mesyuarat tertutup majlis itu, lapor Xinhua.

Majlis Keselamatan dalam mesyuarat tertutup itu, menerima resolusi itu dengan sebulat suara, katanya.

“Majlis Keselamatan, setelah mempertimbangkan cadangan untuk pelantikan Setiausaha Agung PBB, mengesyorkan kepada Perhimpunan Agung agar António Guterres dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PBB untuk penggal kedua dari 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2026, ” dengan membaca kenyataan Resolusi 2580.

Jurgenson berkata Perhimpunan Agung akan mengadakan sesi pada 18 Jun mengenai pelantikan Guterres untuk penggal kedua. Guterres adalah satu-satunya calon rasmi kerana tidak ada negara yang mencadangkan calon.

Menurut beliau, Guterres membuktikan beliau layak menggalas tugas itu berdasarkan prestasinya dalam tempoh lima tahun memegang jawatan.

“Kita semua menyaksikan, sebenarnya setiausaha agung yang menggerakkannya. Saya fikir beliau menjalankan tugasnya dengan sangat baik,” katanya pada sidang media.

Jurgenson memuji Guterres sebagai perantara dan memuji pandangannya mengenai zon konflik di dunia.

“Beliau mampu berbicara dengan semua orang, saya fikir ini yang kita harapkan daripada seorang setiausaha agung,” katanya.

Guterres mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan atas sokongan itu.

“Keputusan Majlis Keselamatan untuk mengesyorkan kepada Perhimpunan Agung agar saya dilantik sebagai Setiausaha Agung PBB bagi penggal kedua adalah penghormatan yang besar.

“Saya sangat berterima kasih kepada anggota majlis atas kepercayaan yang mereka berikan. Terima kasih juga kepada Portugal kerana mencalonkan saya sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Guterres, 72, menjadi setiausaha agung PBB kesembilan pada 2017. Sebelum itu, beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian selama 10 tahun. Guterres merupakan perdana menteri Portugal dari 1995 hingga 2002. – Bernama, 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen