PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 100,000 orang dipindahkan berikutan pertempuran baharu antara tentera dan kumpulan pemberontak Myanmar di timur negara yang dilanda pergolakan akibat rampasan kuasa.
Myanmar dalam keadaan huru-hara dan ekonominya lumpuh sejak junta menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari, dengan mendakwanya melakukan penipuan pada pilihan raya 2020.
Pertempuran berlaku di beberapa komuniti terutama di bandar yang menyaksikan jumlah kematian yang tinggi dan beberapa komuniti tempatan membentuk pasukan pertahanan sendiri.
Pejabat PBB di Myanmar berkata pertempuran baru-baru ini dan serangan pasukan keselamatan terhadap kawasan awam memaksa kira-kira 100,000 meninggalkan rumah mereka di Kayah timur berhampiran sempadan Thailand.
Menurutnya, mereka di daerah yang dilanda pertempuran sangat memerlukan makanan, air, tempat tinggal dan rawatan kesihatan.
Katanya, sekatan perjalanan yang dikenakan pasukan keselamatan melengahkan penghantaran bantuan yang sangat diperlukan.
Penduduk tempatan di Kayah menuduh tentera menggunakan peluru artileri ke atas kampung mereka.
Penduduk kampung mengeluarkan senjata di kilang sementara ketika pasukan pertahanan tempatan menentang tentera Myanmar.
Menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan, lebih 800 terbunuh di seluruh negara dalam tindakan keras tentera terhadap rakyat sejak Februari. – AFP, 9 Jun, 2021.
Komen