ISRAEL mendakwa bangunan media Gaza yang menjadi sasaran dan dimusnahkan, digunakan oleh pejuang Hamas untuk menyekat pertahanan udaranya.
Bagaimanapun, agensi berita Associated Press (AP) menggesa rejim Zionis tampil dengan bukti berhubung dakwaan berkenaan.
Pejabat AP turut musnah dalam serangan itu.
Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat (AS) Gilad Erdan memberikan penjelasan terperinci berhubung keputusan menyerang bangunan 13 tingkat, Menara Jala di Gaza ketika bertemu dengan ketua agensi berita AP Gary Pruitt, di ibu pejabatnya di New York.
“Unit ini menggunakan sistem sekatan elektronik terhadap sistem antipeluru berpandu Iron Dome,” katanya.
Erdan berkata ia merujuk kepada perisai antipeluru berpandu yang memintas roket Hamas.
Beliau turut menawarkan bantuan dari Israel untuk membina semula biro AP, iaitu salah satu agensi berita terkemuka dunia, selain Agence France-Presse dan Reuters.
Tambahnya, dia juga tidak dapat membayangkan pekerja AP mengetahui dakwaan mengaitkan bangunan itu digunakan oleh pejuang Hamas.
“Israel sudah memastikan tidak ada pekerja atau orang awam yang cedera dalam operasi penting ini.
“Sebaliknya, Hamas dengan sengaja meletakkan mesin pengganasnya di kawasan awam, termasuk di pejabat yang digunakan oleh media antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan kumpulan eksekutif AP.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata Hamas menempatkan alatan khas di dalam Menara Jala bagi mengganggu sistem antipeluru berpandu Iron Dome.
Terdahulu, AP dan kumpulan hak asasi media antarabangsa menggesa siasatan bebas dijalankan susulan dakwaan Menara Jala digunakan oleh Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza.
Selain AP, menara itu turut menempatkan pejabat Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar. – AFP, 9 Jun, 2021.
Komen