AS longgar amaran perjalanan bagi negara utama dunia


AS longgar amaran berkaitan perjalanan ke beberapa negara utama termasuk tuan rumah kejohanan Olimpik, Jepun. – Gambar EPA, 9 Jun, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam melonggarkan amaran berkaitan perjalanan ke beberapa negara utama termasuk tuan rumah kejohanan Olimpik, Jepun, sekali gus berharap imunsasi meluas ketika ini membolehkan aktiviti perjalanan kembali pulih dan kembali normal.

Bulan lalu, Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran terhadap semua perjalanan ke Jepun yang dijadualkan akan menganjurkan kejohanan Olimpik pada Julai selepas ia tertangguh selama setahun berikutan pandemik Covid-19.

Rakan sekutu rapat dan negara jiran AS, termasuk Kanada, Mexico, Perancis dan Jerman antara yang mendapat keistimewaan itu dengan Jabatan Negara AS turut menggesa rakyat mempertimbangkan untuk memulakan perjalanan ke luar negara.

Memandangkan Korea Selatan menerima perakuan kesihatan yang baik, Jabatan Negara memaklumkan rakyat AS boleh mempraktikkan langkah keselamatan yang biasa iaitu mengikut garis panduan perjalanan sebelum tercetusnya pandemik Covid-19, apabila melawat ke negara itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, pihaknya mengkaji semula garis panduan perjalanan selepas Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (CDC) tampil dengan cadangan baharu yang menggesa hanya rakyat yang sudah divaksinas sepenuhnya boleh memulakan perjalanan ke luar negara, sementara yang belum diberikan suntikan tidak digalakkan melakukan perjalanan.

Isnin lalu, Penasihat Keselamatan Nasional AS Jake Sullivan, berkata kelonggaran perjalanan bagi warga Eropah ke AS akan dibuat secara telus berasaskan kepada sains dan bukti. – AFP, 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen