Peniaga pasar borong KL takut, 400 kes Covid-19, 8 maut


Khoo Gek San

Pasar borong KL pernah ditutup pada April 2020, Januari dan Mei tahun ini susulan berlaku penularan Covid-19 di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2021.

PENIAGA di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang takut dijangkiti Covid-19 selepas 400 pekerja di situ positif virus dengan lapan daripadanya meninggal dunia bulan lalu.

Tambahan lagi, walapun pasar itu akan dibuka semula pada 18 Mei selepas ditutup kali ketiga sejak pandemik bermula, mereka berkata perniagaan tidak lagi sama seperti dulu dengan kerugian direkodkan lebih 50%.

Mereka berkata orang ramai takut untuk ke pasar itu dan peniaga sendiri ramai yang bimbang masih ada penularan berlaku di situ.

Katanya, pemeriksaan ketat pihak berkuasa, dengan mensyaratkan sesiapa yang hendak masuk ke pasar borong perlu mengemukakan laporan ujian saringan koronavirus, turut menyebabkan pelanggan tidak datang.

Harapan mereka sekarang ialah untuk semua peniaga di pasar itu dapat menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock berkata kerajaan berjanji mereka akan diimunisasi.

“Pada 20 Mei, saya serahkan senarai 500 penjual ikan dan pekerja mereka ke Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.

“Kami masih menunggu respons. Peniaga ikan sanggup menanggung kos vaksin sendiri jika program imunisasi kerajaan masih lambat untuk memvaksin kami.

“Sementara itu, masih ada kes merebak di pasar dan saya mengingatkan peniaga ikan untuk mengamalkan disiplin diri, kalau tidak kita akan menempuh penularan kali keempat pula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tiga penularan menyebabkan pasar itu ditutup pada April 2020, Januari dan Mei tahun ini.

Pasar borong itu yang terdiri daripada 448 kedai menjual makanan laut, gerai buah dan sayuran, mempunyai 4,000 peniaga dan pekerja pada satu-satu masa.

Ia pasar borong terbesar di Lembah Klang yang membekalkan makanan segar kepada pasar lebih kecil, pasar raya besar dan restoran di seluruh Lembah Klang dan negeri berhampiran.

Peniaga berkata sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, kebanyakan barangan tidak terjual setiap hari.

Sing berkata sejak awal Mei, 400 individu disahkan positif Covid-19, dengan lapan daripadanya maut.

Semua yang meninggal dunia ialah peniaga kecuali seorang pelanggan. – 10 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen