BEKAS pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka semasa satu sidang media pada hujung bulan lalu, kata polis.
Kegagalannya itu melanggar Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, kata Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah.
“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Zainal mengumumkan perkara itu selepas pihaknya semalam menerima kembali kertas siasatan kes terhadap Tajuddin daripada pejabat Jabatan Peguam Negara.
Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak tidak memakai pelitup muka semasa sidang media yang diadakan susulan kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan antara stesen KLCC dan Kampung Baru pada 25 Mei lalu.
Pada sidang media itu, Tajuddin hanya mengenakan pelindung muka telus, tidak seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sidang media itu turut dikecam oleh banyak pihak selepas Tajuddin dianggap tidak menunjukkan sikap yang sensitif kepada mangsa kemalangan.
Beliau dipecat dari jawatannya sehari selepas sidang media itu.
Tajuddin dilantik menerajui Prasarana pada Mei tahun lepas, tidak lama selepas percaturan politik yang mengangkat kerajaan PN ke Putrajaya.
Prasarana ialah syarikat milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan yang mengendalikan pengurusan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia. – 9 Jun, 2021.
Komen