Guan Eng mengadap Agong petang ini, kata DAP


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2021.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini, kata setiausaha organisasi parti Anthony Loke.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Loke mengesahkan Lim telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua parti DAP.

“Majlis mengadap tersebut dijadualkan berlangsung pada sebelah petang, hari Rabu, 9 Jun 2021 di Istana Negara,” katanya.

Pada Selasa beberapa sumber memberitahu The Malaysian Insight, Yang di-Pertuan Agong akan menerima mengadap ketua-ketua parti politik, dipercayai untuk membincangkan keadaan semasa negara di tengah penularan Covid-19.

Sumber bagaimanapun tidak mendedahkan agenda pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, media turut melaporkan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih menunggu kelulusan pendaftaran juga dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong esok, kata ketua penerangan penaja parti Ulya Aqamah Husamudin, semalam.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga semalam dipetik oleh The Star berkata presiden parti Abdul Hadi Awang menerima surat jemputan daripada Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada minggu ini.

“Saya tidak diberi mandat untuk memberitahu bila pertemuan itu akan diadakan.

“Saya juga tidak mengetahui apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Awal hari ini, Bernama melaporkan kenderaan yang membawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat memasuki Istana Negara di Kuala Lumpur pada 7.50 pagi. Muhyiddin dilapor meninggalkan Istana Negara lebih kurang sejam kemudian.

Perdana menteri bagaimanapun lazimnya mengadap Yang di-Pertuan Agong pada setiap Rabu sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

Pada hujung April lalu, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memberi perkenan untuk menerima mengadap anggota jawatankuasa merayu penamatan proklamasi darurat namun tarikhnya pada masa itu belum ditetapkan.

Perkenan itu diberikan susulan permohonan jawatankuasa tersebut untuk menyerahkan petisyen rakyat untuk baginda menarik balik perisytiharan darurat yang dibuat pada Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan perisytiharan darurat di seluruh negara bermula 11 Januari bagi membendung pandemik Covid-19.

Perintah darurat itu dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos atau suatu tarikh lebih awal jika pandemik dapat dikawal dengan berkesan. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen