PIHAK berkuasa Nicaragua menahan calon pilihan raya presiden ketiga dalam tindakan Presiden Daniel Ortega, yang disifatkan oleh Amerika Syarikat sebagai diktator, menjelang pilihan raya umum negara itu tahun ini.
Felix Maradiaga ditahan selepas disiasat atas dakwaan keganasan, pengkhianatan dan menyokong sekatan antarabangsa ke atas kerajaan.
Minggu lalu, dua lagi ahli politik yang merancang untuk bertanding menentang Ortega turut ditahan.
Cristiana Chamorro dikenakan tahanan rumah atas dakwaan pengubahan wang haram manakala Arturo Cruz ditahan atas dakwaan provokasi dan konspirasi untuk menjejaskan integriti negara.
Maradiaga, 44 berkemungkinan akan berdepan dakwaan paling serius.
Polis berkata “dia sedang disiasat kerana melakukan tindakan yang merendahkan kemerdekaan, kedaulatan, dan menghasut campur tangan asing dalam urusan dalaman negara, dan meminta campur tangan ketenteraan.”
Beliau turut dituduh menggunakan dana daripada kuasa asing bagi menjalankan kegiatan keganasan,” tambah polis.
Menurut pengkritik, tindakan berkenaan hanya untuk menghalang ahli politik pembangkang daripada bertanding pada pilihan raya. – AFP, 9 Jun, 2021.
Komen