Umno Terengganu nafi terlibat jatuhkan Samsuri


Diyana Ibrahim

Malaysia Dateline mendakwa Umno Terengganu cuba memujuk Adun PAS menyertai usaha menyingkirkan Ahmad Samsuri Mokhtar dari jawatan menteri besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

UMNO Terengganu menafikan dakwaan wakil rakyat dari parti itu terbabit dalam gerakan menjatuhkan menteri besar dari PAS Ahmad Samsuri Mokhtar melalui akuan bersumpah.

Ketua Penerangan Umno negeri Nik Dir Nik Wan Ku berkata mereka tidak terlibat sama sekali dengan usaha itu dan tidak masuk campur sekiranya benar berlaku konflik dalam PAS.

“Suka saya nyatakan dan jelaskan bahawa Umno Terengganu tidak terlibat langsung dalam pergolakan ini jika ia merupakan satu perkara benar.

“Apatah lagi sekiranya perkara ini hanyalah satu provokasi politik semata-mata.

“Adun Umno sama sekali tidak terlibat dalam gerakan ini, sekiranya perkara ini benar-benar sedang berlaku,” kata Nik Dir dalam kenyataannya.

Tambahnya, konflik yang didakwa melibatkan menteri besar itu hanyalah isu dalam PAS dan tiada kaitan dengan Umno sama sekali.

“Jika isu ini benar ia adalah  semata-semata perkara dalam rumah tangga Pas Terengganu sendiri yang tiada kaitan dengan Umno sama sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Secara khusus, beliau merujuk kepada surat akuan berkanun yang tular di media sosial hari ini, didakwa menyatakan penglibatan Adun Umno.

Dakwaan sama ditimbulkan dalam satu laporan organ parti Amanah, Malaysia Dateline hari ini yang mendakwa gerakan menjatuhkan Samsuri digerakkan Umno Terengganu.

Laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu mendakwa Umno Terengganu cuba memujuk Adun PAS menyertai usaha menyingkirkan Samsuri dari jawatan menteri besar.

Menurut laporan itu, langkah itu bagi menaikkan Adun Jabi  Azman Ibrahim yang juga seorang exco pertanian sebagai menteri besar baharu untuk menggantikan Samsuri.

Sumber dalam laporan itu  mendakwa Umno bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan layanan Samsuri ke atas Adun dan pemimpin masyarakat di kalangan parti berkenaan.

Satu laporan polis dibuat setiausaha Samsuri, Muhyiddin Abd Rashid ke atas Malaysia Dateline atas dakwaan berkenaan.

Terdahulu The Malaysian Insight melaporkan mengenai kedudukan Samsuri yang genting disebabkan isu dengan istana, pertembungan kuasa dan perpecahan dalam PAS Terengganu.

Hinggakan istana hampir menarik balik gelaran Datuk Seri disandang menteri besar itu dan seorang exco terpaksa diminta meredakan ketegangan antara Samsuri dan pihak istana, kata sumber.

Kalangan pemimpin PAS Terengganu pula didakwa marah apabila Ahmad Samsuri lebih mengutamakan orang luar dalam lantikan politik melibatkan agensi negeri Terengganu.

Perkara itulah yang didakwa membawa kepada krisis dalam PAS Terengganu dan menyebabkan gerakan tersebut berpecah tiga.

Umno yang mentadbir Terengganu pada penggal lalu kini hanya menguasai 10 kerusi negeri berbanding 22 yang dipegang PAS. – 8 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen