Pelan hala tuju sisa marin pastikan sumber laut terpelihara, kata menteri


Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dapat menjamin kelangsungan ekosistem marin selain menyumbang kepada rantaian makanan serta pendapatan komuniti persisir pantai melalui aktiviti pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2021.

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Sisa Marin Kebangsaan sebagai usaha memastikan laut dan sumber laut negara kekal terpelihara, kata menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Apabila siap kelak, katanya pelan itu akan dapat membantu KASA membangunkan sistem yang mampu mengenal pasti titik panas pencemaran sisa plastik agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasi isu tersebut.

“Selain pencemaran fizikal, mikroplastik juga ditemui dalam hidupan marin yang berpotensi mencemarkan rantaian makanan sekiranya tidak dibendung.

“Dengan adanya pelan itu kelak, KASA berharap dapat bekerjasama denga semua pemegang taruh, kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pengurusan sisa pepejal termasuk sisa plastik dalam menjayakan misi negara untuk mengurangkan pembuangan sisa plastik.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan webinar ‘Pemanasan Global: Impak Kepada Wilayah Polar dan Tropika’ sempena Hari Lautan Sedunia dan Hari Segitiga Terumbu Karang anjuran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan secara maya hari ini.

Beliau berharap pelan tersebut dapat menjamin kelangsungan ekosistem marin selain menyumbang kepada rantaian makanan serta pendapatan komuniti persisir pantai melalui aktiviti pelancongan.

Beliau berkata Malaysia sebagai ahli kepada inisiatif Segitiga Terumbu Karang bersama-sama lima negara lain iaitu Indonesia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste telah memulakan jaringan kerjasama bagi menangani cabaran pengurusan marin di rantau Segitiga Terumbu Karang.

“Menyedari sumbangan ekosistem marin serta ancaman yang dihadapi, adalah penting bagi Malaysia untuk meneliti semula sasaran kita dalam menyokong usaha murni kerajaan menjaga ekosistem tersebut,” katanya. – Bernama, 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen