Buka semula Parlimen segera


KAMI mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk memanggil persidangan Parlimen dengan segera untuk menangani pandemik Covid-19 menerusi pendekatan dwipartisan sebenar.

Menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuhkan pada tahun lepas, Parlimen berupaya menjadi medan kerjasama tulen antara pelbagai parti, terutamanya bagi menyelaras usaha memerangi pandemik secara bersama. 

Jawatankuasa-jawatankuasa ini perlu diberikan sumber dan tenaga kerja yang secukupnya serta akses menyeluruh kepada data-data dan pakar-pakar merentasi bidang.

Jawatankuasa-jawatankuasa ini juga berpotensi berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan keseragaman antara kementerian. 

Meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil alih pengurusan Covid-19 sejak Mac 2020, masih terdapat pelbagai kepincangan antara kementerian dan flip-flop yang akhirnya menjejaskan kehidupan dan mata pencarian rakyat, antaranya:
a) Pengumuman dan pendirian bercanggah antara kementerian biarpun negara telah melalui beberapa kitaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
b) SOP yang tidak berasaskan fakta dan mengelirukan.
c) Penguatkuasaan SOP dua darjat
d) Keengganan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran walaupun mengakui kebanyakan kes tanpa gejala sudah menular dalam masyarakat.
e) Keengganan menambah perbelanjaan bagi membantu rakyat sehinggakan kita terpaksa menyeluk simpanan pencen (KWSP)sendiri.  
f) Kelembapan Mobilisasi Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) – agihan 3.5% sejak dilancarkan tersasar jauh dari sasaran sebenar 80% menjelang bulan Disember 2021.

Biarpun kerajaan Perikatan Nasional menggunakan pengurusan wabak sebagai alasan kepada Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen, langkah ini jelas hanyalah satu wayang politik mereka apabila kes Covid-19 bertambah meruncing dengan kes kematian mencecah lebih 100 orang setiap hari.

Sejak bermulanya PKP yang pertama pada Mac 2020, pemimpin politik pembangkang dan ahli-ahli pemikir dalam masyarakat terus memberikan idea dan cadangan penyelesaian secara konsisten kepada kerajaan. 

Malangnya, kerajaan tetap degil malah kerap mengulangi kesilapan yang sama.

Sudah tiba masanya kita membuka semula ruang demokrasi supaya satu rancangan menyeluruh dapat dibentuk bagi mengemudi negara keluar daripada kancah Covid-19 yang berpanjangan. Kerajaan perlu terima, era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir. 

Sekarang adalah masanya kerajaan mengakui kelemahan diri dan menerajui pendekatan masyarakat menyeluruh (whole-of-society approach) yang sebenar-benarnya dengan memanggil persidangan Parlimen. – 8 Jun, 2021.

* Kenyataan bersama 160 pemimpin muda akar umbi Amanah, DAP, dan Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen