SEORANG lelaki yang memandu trak pikap merempuh sebuah keluarga di London di wilayah Ontario, Kanada, membunuh empat beranak dalam serangan terancang yang disifatkan oleh pihak berkuasa bermotifkan kebencian agama, lapor media.
Lelaki berumur 20 tahun itu, yang melarikan diri selepas rempuhan, kemudian ditahan di sebuah pusat membeli-belah yang terletak tujuh kilometer dari tempat kejadian, kata pegawai penyiasat.
“Ada bukti menunjukkan kejadian ini dirancang terlebih dahulu dan bermotifkan kebencian. Kami percaya mereka diserang kerana mereka Muslim,” kata pegawai polis Paul Waight, seperti dipetik AFP.
Menurut polis, semasa ditahan, lelaki itu memakai rompi perisai.
Suspek Nathaniel Veltmen didakwa atas empat tuduhan membunuh dan satu tuduhan cubaan membunuh.
Mangsa yang terbunuh ialah empat sekeluarga dari tiga generasi iaitu seorang wanita berumur 76 tahun, seorang lelaki, 46, dan wanita, 44, yang merupakan suami isteri dan anak perempuan mereka, 15.
Seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berumur sembilan tahun cedera parah dan dirawat di hospital.
“Biar saya tegaskan, ini adalah satu tindakan membunuh terhadap Muslim, terhadap penduduk London, yang berpunca daripada kebencian yang tidak boleh kita gambarkan,” kata datuk bandar London, Ed Holder.
Perdana Menteri Justin Trudeau dalam reaksinya menegaskan tiada tempat untuk Islamofobia di Kanada.
“Kebencian seperti ini bahaya dan hina, dan ia mesti dihentikan,” tulisnya di Twitter.
Serangan ini mengejutkan Kanada yang menyaksikan pelbagai kejadian seumpamanya sejak kebelakangan, lapor Al-Jazeera.
Antara 2015 hingga 2019, Majlis Muslim Kebangsaan Kanada merekodkan lebih 300 kejadian, termasuk lebih daripada 30 yang melibatkan keganasan fizikal.
Ini termasuk serangan tembakan ke atas Pusat Kebudayaan Islam di Quebec pada Januari 2017, yang membunuh enam orang dan menyebabkan 19 cedera dan disifatkan terburuk dalam sejarah Kanada. – 8 Jun, 2021.
Komen