Kes rendah sebab ujian tak cukup, kata doktor


Menurut kiraan Dr Amar, positiviti ujian berkisar antara 6.5% dan 7.9% untuk tempoh antara 29 Mei dan 7 Jun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2021.

TIADA maknanya mendakwa jumlah kes positif Covid-19 makin turun sedangkan ianya disebabkan ujian saringan yang tidak mencukupi, kata Dr Amar Singh HSS.

“Tidak ada maknanya beritahu kita jumlah kes harian turun tanpa sesuaikan dengan jumlah ujian atau positiviti ujian,” katanya melalui ciapan di Twitter.

“Kes akan turun jika kita uji lebih. Positiviti ujian kekal tinggi. Ujian terlalu sikit untuk pandemik yang besar.”

Menurut kiraan Dr Amar, positiviti ujian berkisar antara 6.5% dan 7.9% untuk tempoh antara 29 Mei dan 7 Jun.

Sebanyak 32,370 ujian yang terdiri daripada ujian RTK-Antigen dan RT-PCR dilakukan pada 11 April sementara 95,676 ujian dilakukan pada 19 Mei.

Kiraan kasar berdasarkan data kementerian menunjukkan, antara 20 Mei dan 1 Jun, sampel ujian yang diambil berkisar antara 89,227 dan 114,000.

Ini menunjukkan terdapat peningkatan jumlah sampel yang diambil untuk diuji. Kadar positif berada pada tahap 4%.

Pada 29 Mei, Malaysia merekodkan kes harian paling tinggi sebanyak 9,020 kes. Cara kiraan lain pula menunjukkan jumlah sampel yang diambil mungkin berjumlah 126,480.

Semalam, negara melaporkan 5,271 kes berbanding 7,548 kes yang telah pulih selain mencatat 82 kematian.

Beban kumulatif negara kini berjumlah 622,086 dengan 84,269 kes aktif.

Kadar jangkitan negara juga mengalami penurunan stabil sejak 3 Jun, berada di bawah 1.0 sejak dua hari terakhir ini. – 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen