Brazil bakal berdepan gelombang ketiga Covid-19


BRAZIL merupakan antara negara yang merekodkan kes kematian tertinggi Covid-19 kini bakal berdepan gelombang ketiga wabak itu.

Ia diburukkan lagi dengan penangguhan vaksinasi serta kurang langkah pencegahan.

Negara itu pernah merekodkan sekitar 1,000 kematian sehari pada Julai 2020 ketika gelombang pertama penularan dan 3,000 kematian dalam sehari pada April ketika berdepan gelombang kedua.

Ia kemudian menurun kepada sekitar 1,600 kematian sehari sejak beberapa minggu lalu dan kebanyakan warga Brazil kembali kepada urusan harian.

Pakar perubatan turut memberi amaran gelombang ketiga berkemungkinan lebih teruk berbanding gelombang sebelumnya.

Kempen vaksinasi di negara yang memiliki 212 juta penduduk itu sangat perlahan ditambah dengan kekurangan langkah pencegahan, kata pakar epidemiologi.

Covid-19 setakat ini meragut lebh 470,000 nyawa di Brazil yang berada di tangga kedua selepas Amerika Syarikat.

Namun kebanyakan penduduk Brazil dilihat tidak bimbang dengan ancaman terbaharu itu, malah Presiden Jair Bolsonaro sendiri sering menafikan nasihat pakatr perubatan untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

“Brazil tidak mengambil peduli tentang bencana kesihatan dan menganggap ia sebagai perkara normal. Majoriti rakyat di negara ini hidup seperti tiada pandemik,” kata pakar penyakit berjangkit Jose David Urbaez.

“Itu sebabnya mengapa kita menjangkakan gelombang ketiga penularan wabak ini lebih teruk.” – AFP, 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen