RAMAI pelancong mula membanjiri pusat peranginan di Malaga selepas Sepanyol membuka sempadannya kepada individu yang sudah menerima vaksin dari seluruh dunia.
“Kami sangat teruja. Kami sukakan Sepanyol, sinar mentari, makanan dan semua mengenainya,” kata pelancong dari Ireland Gillian Ford yang datang dari Dublin selepas divaksin sepenuhnya.
“Hidup hanya sekali jadi kamu perlu keluar mengembara dan menikmatinya,” katanya sebelum ke pantai Marbella bersama suaminya.
Sepanyol berharap dengan pembukaan sempadan akan mengembalikan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik.
Dengan kadar vaksinasi yang meningkat di seluruh Eropah, ramai yang mengharapkan musim panas akan memulihkan sektor pelancongan.
Ketibaan pelancong mula kelihatan di lapangan terbang Malaga di selatan wilayah Andalusia, antaranya pelancong dari Jerman, Ireland dan Belgium.
Sekurang-kurangnya 20 penerbangan antarabangsa mendarat pada pagi selepas lebih setahun wilayah itu dikenakan perintah berkurung. – AFP, 8 Jun, 2021.
Komen