New York rancang konsert pasca Covid-19 


Konsert besar-besaran akan diadakan di Central Park New York pada Ogos ini. – Gambar EPA, 8 Jun, 2021.

NEW YORK merancang untuk mengadakan konsert besar-besaran di Central Park Ogos ini bagi meraikan “kelahiran semula” kota berkenaan berikutan pandemik Covid-19, umum Datuk Bandar Bill De Blasio. 

Tiada butiran lanjut berhubung program itu didedahkan, namun Blasio meminta penerbit muzik veteran Clive Davis untuk mengatur konsert berkenaan.

“Kamu boleh lihat suasana kembali pulih,” kata De Blasio pada sidang media mengumumkan perkara itu bagi meraikan pemulihan New York daripada pandemik. 
 
“Tetapi kami ingin memperkuat, kami ingin menjadikannya lebih besar.

“Konsert itu akan menjadi sesuatu yang menakjubkan, diingati dan minggu yang tidak dapat dilupakan untuk meraikan kelahiran semula New York,” kata Datuk Bandar itu. 

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar, namun menurut The New York Times mengikut rancangan tentatif ia akan diadakan 21 Ogos. 

Sebahagian daripada 60,000 tiket akan diagihkan secara percuma dan terdapat juga tempat duduk VIP. 

Usaha vaksinasi mengurangkan jumlah kes Covid-19 secara drastik di New York. 

Lebih 63% orang dewasa di New York telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut angka rasmi. – AFP, 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen