AMERIKA Syarikat yang mengadakan rundingan secara tidak langsung dengan Iran berhubung perjanjian nuklear 2015 berkata, pihaknya masih tidak pasti sama ada Tehran mahu mematuhinya.
“Kita telah mengadakan rundingan secara tidak langsung sejak dua bulan lalu, dan masih tidak jelas sama ada Iran mahu dan bersedia untuk lakukan apa yang perlu untuk mematuhinya,” kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken.
Bekas presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018, mendakwa ia tidak memadai untuk menghalang negara itu daripada membina senjata nuklear.
Trump memperketatkan sekatan terhadap Tehran dan pihak berkuasa Iran bertindak balas dengan membatalkan komitmen mereka di bawah perjanjian itu.
Presiden Joe Biden berkata beliau akan menyertai semula perjanjian itu sekiranya Iran menyatakan pendiriannya.
Kedua-dua pihak mengadakan rundingan di Vienna sejak April bersama beberapa pihak lain—Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia.
Rundingan itu dijangka bersambung minggu ini di ibu negara Austria itu.
“Kita tidak mencapai tahap untuk kembali mematuhi perjanjian itu, kami tidak tahu apa sebenarnya yang akan berlaku,” kata Biden.
Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif menjawab kenyataan Blinken pada Isnin.
“Masih tidak jelas sama ada Biden dan Blinken sedia untuk membatalkan dasar sekatan ketat Trump dan menghentikan penggunaan keganasan ekonomi sebagai alat rundingan,” katanya menerusi Twitter. – AFP, 8 Jun, 2021.
Komen