SATU perbicaraan saman fitnah oleh bekas tentera Australia bermula hari ini terhadap tiga akhbar utama termasuk wartawan kerana menuduhnya terlibat dalam jenayah perang di Afghanistan.
Ben Roberts-Smith yang merupakan bekas anggota rejimen elit Perkhidmatan Udara Khas Australia (SAS) menyaman akhbar-akhbar berkenaan dan juga wartawan dari ketiga-tiga artikel dari 2018 yang mendakwanya melakukan pembunuhan dan kekejaman lain ketika berkhidmat di Afghanistan.
Defendan termasuk akhbar Sydney Morning Herald, The Canberra Times dan The Age akan berhujah bahawa laporan itu benar, menurut dokumen mahkamah.
Kedua-dua tentera dan polis Australia sedang menyiasat banyak jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh anggota tentera SAS elit di Afghanistan.
Di antara saksi pembelaan adalah empat penduduk kampung Afghanistan yang akan memberi kenyataan menerusi video dari Kabul.
Roberts-Smith pernah menerima anugerah Victoria Cross dan Medal for Gallantry atas perkhidmatannya di Afghanistan.
Beliau kini menjadi eksekutif televisyen Channel Seven di Queensland.
Perbicaraan Mahkamah Persekutuan akan berlangsung selama lapan sehingga 10 minggu dengan kira-kira 60 saksi dijangka memberi keterangan, kata seorang pegawai mahkamah.
Sebahagian dari perbicaraan mungkin ditutup kepada orang ramai termasuk media apabila hal ehwal keselamatan negara dibangkitkan.
Australia mengerahkan 39,000 tentera selama dua dekad sebagai sebahagian dari operasi pimpinan AS dan NATO terhadap Taliban serta kumpulan militan di Afghanistan.
Negara itu akan menarik sejumlah kecil anggota tenteranya pada September lalu seiring dengan langkah AS memanggil pulang tentera mereka.
Tahun lepas siasatan dalaman terhadap salah laku tentera mendapati anggota pasukan khas membunuh secara haram 39 orang awam termasuk tahanan warga Afghanistan.
Laporan itu merupakan perubahan penting bagi kerajaan Australia yang sebelum ini pernah menahan pemberi maklumat berhubung tuduhan berkaitan kesalahan itu dengan polis bahkan menyiasat wartawan yang terlibat dalam pendedahan berkenaan. – AFP, 7 Jun, 2021.
Komen