Perbicaraan nahas M17 mula mendengar bukti


Pesawat MH17 jenis Boeing 777 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine. – Gambar EPA, 7 Jun, 2021.

HAKIM Belanda dijangka memulakan perbicaraan dengan mendengar bukti hari ini terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) pada 2014.

Perbicaraan secara rasmi bermula Mac tahun lalu tetapi setakat ini masih di peringkat hujahan perundangan terutama mengenai penerimaan bukti berkaitan nahas yang menyebabkan 298 penumpang termasuk kru pesawat terbunuh.

Empat suspek – tiga warga Rusia Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta rakyat Ukraine Leonid Kharchenko dibicarakan tanpa kehadiran. Hanya Pulatov diwakili peguam.

“Mahkamah akan dibuka untuk perbicaraan jenayah MH17 dengan sewajarnya dan menerusi penelitian serta perbincangan kandungan fail pendakwaan, menjelaskan pertanyaan penting yang sudah mula ditangani.

“Adakah pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluruh berpandu BUK? Adakah peluru berpandu BUK dilancarkan dari ladang pertanian berhampiran Pervomaiskyi? Adakah tertuduh berperanan dalam hal ini,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Pesawat jenis Boeing 777 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, wilayah yang dikawal oleh pemberontak pro-Rusia.

Siasatan antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia, berpusat di Kursk bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Keempat-empat suspek dituduh sebagai dalang utama dalam kalangan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiew. – AFP, 7 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen